Pihak politikkan ‘kantin sekolah’ perlu didakwa – Bernama


Pihak politikkan ‘kantin sekolah’ perlu didakwa
26 Julai 2013
  • Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli NoordinNaib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang mempolitikkan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sebuah sekolah di Sungai Buloh.

Naib Presidennya Datuk Zulkifli Noordin berkata sesetengah pihak mengambil kesempatan memfitnah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Nor, dengan mendakwanya bersikap rasis kerana menempatkan murid bukan Islam makan di dalam tandas.

“Yang jelas perkara ini telah diputar belit dan disulami dengan pembohongan, sedangkan faktanya sekolah itu mempunyai kantin yang kecil dan hanya memuat 600 pelajar.

“Keputusan (menggunakan bilik persalinan) itu dibuat hasil perbincangan bersama guru dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), dan guru besar sekadar melaksanakan keputusan itu,” katanya ketika mengulas isu itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penubuhan Majlis Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antara Kaum Malaysia (Mirac) di sini.

Zulkifli turut menyatakan sokongan Perkasa untuk membela dan mempertahankan Mohamad Nasir.

Sementara itu Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda MIC P. Punithan turut memohon semua pihak supaya untuk tidak menjadikan perkara berkenaan sebagai isu perkauman.

Perkara itu tidak harus dipolitikkan dan dipolemikkan kerana mampu menggugat perpaduan kaum yang sedia terjalin, katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama

Jangan kecam pemberi maklumat kes ‘kantin sekolah’ – Sinar Harian


Jangan kecam pemberi maklumat kes ‘kantin sekolah’
MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
26 Julai 2013
  • Isu kantin Isu kantin
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Wanita Gerakan hari ini mengutuk tindakan individu yang menggangu seorang wanita yang dikatakan sebagai individu yang merakam gambar pelajar-pelajar bukan Islam makan di ‘kantin sekolah’, baru-baru ini.

Ketua Setiausahanya, Jayanthi Devi Balaguru berkata, beliau bimbang akan keselamatan wanita berkenaan kerana beliau turut menerima laporan yang mendakwa bahawa anak wanita itu turut dibuli ekoran kontroversi tu.

“Ini adalah satu penghinaan yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dalam usaha untuk meletakkan ibu dan kanak-kanak di bawah satu tekanan teruk.

“Mereka harus faham bahawa sebagai ibu bapa, ia adalah sedih melihat anak-anak mereka perlu mengambil makanan tengah hari mereka di dalam bilik mandi seperti yang berlaku dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal minggu ini, negara dikejutkan dengan penyebaran gambar yang menunjukkan beberapa pelajar sedang makan di bilik persalinan Sekolah Kebangsaan Pristana, Sungai Buloh sepanjang bulan Ramadan ini.

Ekoran kontroversi itu, ia turut mendapat liputan yang meluas termasuk reaksi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang meminta siasatan dilakukan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab ‘jika ada asas’.

Sehubungan itu, Jayanthi turut menggesa agar wanita itu diberi perlindungan dan juga anaknya.

“Kedua-dua ibu dan anak ini layak untuk mendapatkan perlindungan sewajarnya,” katanya.

Beliau juga meminta ulasan mengenai Akta Pemberi Maklumat 2010 yang hanya menawarkan perlindungan kepada pemberi maklumat jika hanya mereka membuat pendedahan kepada agensi penguat kuasa yang diberi kuasa dan tidak memberi apa-apa perlindungan kepada pemberi maklumat yang ‘mengadu ’kepada media.

“Jika diteliti mereka gagal untuk memenuhi syarat-syarat ini.

“Mereka amat lemah dan pasti memerlukan perlindungan undang-undang,” katanya.