Angkasa cadang guru khas koperasi sekolah
KUCHING 19 April – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) mencadangkan supaya jawatan Guru Penolong Kanan Koperasi Sekolah diwujudkan dengan tujuan meningkatkan perolehan koperasi.
Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kertas cadangan mengenai perjawatan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Jun ini.
“Ini merupakan idea baharu memandangkan pada masa ini kebanyakan koperasi sekolah tidak mempunyai pengurus.
“Ia kerana nilai jualan atau perolehan mereka tidak begitu tinggi memandangkan terlalu memberi tumpuan kepada pasaran untuk warga sekolah masing-masing sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Taklimat Program Koperasi Sekolah 2012 Peringkat Negeri Sarawak dan lawatan ke koperasi Sekolah Menengah Agama Matang di sini hari ini.