Murid tahun lima maut tersepit dalam lif rosak – Utusan


Murid tahun lima maut tersepit dalam lif rosak

 

Oleh ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR 17 Julai – Seorang murid tahun lima maut akibat tersepit dalam lif yang rosak sewaktu pulang dari sekolah di Projek Perumahan Rakyat Desa Tun Razak di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.16 petang sewaktu mangsa, Khairul Amir Azri Lani, 11, cuba keluar dari lif itu yang mengalami kerosakan. Lif tersebut ketika itu memuatkan 18 penumpang lain, kesemuanya murid sekolah. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130717/je_15/Murid-tahun-lima-maut-tersepit-dalam-lif-rosak#ixzz2ZIx0a5XM
© Utusan Melayu (M) Bhd

30 rumah, dua sekolah rosak dilanda ribut – Sinar Harian


30 rumah, dua sekolah rosak dilanda ribut

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Januari 2013
30 rumah, dua sekolah rosak dilanda ribut
Jurutera Daerah, Zamri Mat Kasim (tengah) memerhatikan kerosakan di Semenda sambil diperhatikan Noridah (kanan), semalam

REMBAU – Sebanyak 30 rumah serta dua sekolah rosak dilanda ribut dalam kejadian kira-kira 4.50 petang kelmarin.

Antara kediaman penduduk yang rosak teruk adalah di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Legong Ulu, Kampung Relong Chengkau, Kampung Penajis, Pulau Acheh dan Astana Raja termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abdullah (Semenda) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Astana Raja.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi, malam kelmarin mendapati lebih 30 pokok tumbang dan turut mengenai sebuah kereta penduduk serta kabel yang terletak di bahu jalan.

Penduduk, Nor Azhar Zulkefly, 22, dia hanya menyedari atap rumah yang didiami sejak 20 tahun lalu rosak dipukul angin kuat selepas merasakan biliknya mulai basah.

Katanya, menyedari kejadian itu, dia bergegas mencari ibu, Sefiah Ismail, 59, yang berada di ruang tamu.

“Saya sempat mematikan suis utama dan membawa ibu ke rumah nenek saya yang terletak berdekatan. Ibu saya masih terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Semenda, Siti Noridah Ujang berkata, dia dan beberapa guru bertindak pantas melihat kerosakan awal.

“Kebanyakan bahagian atap bangunan beberapa blok serta asrama diterbangkan ribut, sementara kelas basah, pendawaian elektrik rosak, cermin pecah selain pintu tercabut,” katanya.

Menjerit minta pertolongan ibu – Metro


Menjerit minta pertolongan ibu

Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: “Tolong! Tolong!” jerit Abdul Rahman Mohd Ridhwan, 7, antara 50 peserta Majlis Berkhatan Beramai-ramai di Management & Science University (MSU), di sini, semalam yang meminta pertolongan ibunya, Mazhatul Susinaz Mohd Ali, 40, apabila tiba gilirannya untuk dikhatankan.

Anak keempat daripada enam beradik itu pada mulanya enggan dikhatankan kerana takut, namun akur selepas teringat janji bapanya, Mohd Ridhwan Abd Yazid, 40, yang mahu membelikannya ais krim Tutti Frutti.
“Apabila tiba waktu dikhatankan, saya sangat takut, jadi saya jerit minta tolong kepada ibu. Kemudian saya teringat bapa berjanji belikan ais krim Tutti Frutti selepas sembuh nanti. Itu yang buat saya berani,” katanya ketika ditemui. Turut dikhatankan abangnya, Mohd Luqman, 8, yang berazam menjadi lelaki dewasa selepas berkhatan. Abdul Rahman berkata, seperti juga adiknya, dia pada mulanya enggan berkhatan kerana takut, namun bersetuju selepas melihat lelaki dewasa boleh bersembahyang di belakang imam.

 

“Hari ini (kelmarin) saya sudah berkhatan. Apabila sembuh nanti saya akan sembahyang di belakang imam kerana saya sudah menjadi lelaki dewasa, bukan budak-budak lagi,” katanya.
Dua beradik itu juga berjanji menjadi lelaki yang baik dan mendengar kata ibu bapa mereka.
Terdahulu program anjuran Fakulti Sains Kehidupan dan Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Profesional itu dirasmikan Presiden MSU, Profesor Datuk Wira Dr Mohd Shukri Abdul Yajid.

 

 

Ia turut disertai kanak-kanak yang juga penghuni pelbagai rumah kebajikan seperti Rumah Anak Yatim Baitul Fitrah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jinjang, komuniti setempat di Shah Alam serta anak-anak pekerja universiti itu.
Program berkenaan adalah acara tahunan MSU dan kali kedua diadakan dengan dibantu oleh 58 pensyarah serta pelajar fakulti itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03

Beri izin suntik anak – Metro


Beri izin suntik anak

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Ibu bapa diminta memberi kerjasama membenarkan anak mereka mendapatkan suntikan pelalian demam campak melalui aktiviti dijalankan Kementerian Kesihatan di kawasan dikenal pasti berisiko tinggi berlaku jangkitan khususnya di Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, aktiviti suntikan membabitkan kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun itu dilakukan di klinik kesihatan, taska, tadika, pusat jagaan kanak-kanak kerajaan serta swasta dan kediaman seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Aktiviti itu diadakan dari Oktober hingga Disember tahun ini bagi mencegah jangkitan demam campak.

 

“Pejabat Kesihatan Daerah yang terbabit akan mengumumkan tarikh dan tempat pemberian suntikan diadakan melalui edaran risalah sekurang-kurangnya seminggu sebelum aktiviti itu dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Dr Hasan berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 1,569 kes demam campak dicatatkan iaitu pada kadar 55 kes bagi setiap sejuta penduduk, manakala bagi tahun ini, sehingga Jun lalu sebanyak 1,224 kes dicatatkan.
Menurutnya, sebanyak 70 peratus daripada kes demam campak dikesan itu didapati tidak mendapat suntikan pelalian.

45,000 pelajar SRA dan KAFA JAWI nikmati pendidikan percuma – Bernama


45,000 pelajar SRA dan KAFA JAWI nikmati pendidikan percuma

2012/04/23

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membiayai yuran bulanan 45,000 pelajar Sekolah Rendah Agama(SRA) serta Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi tahun ini, dengan peruntukan RM5.3 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata inisiatif itu seiring dengan tindakan kerajaan yang menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), baucar buku dan bantuan persekolahan.

“Di MAIWP kita melihat usaha yang dilakukan pihak kerajaan ini wajar diguna pakai dan kami merasa dengan memansuhkan yuran bulanan persekolah SRA dan KAFA sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa.

“Inisiatif ini juga dilihat sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan agama di SRA dan KAFA. Bagi ibu bapa yang membayar yuran bulan, mereka akan mendapat pulangan bayaran tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Jawi 2012, di sini hari ini.

Yuran bulanan pembelajaran di SRA dan KAFA, JAWI berjumlah RM10 sebulan.

Jamil Khir berkata, bagi memastikan kualiti agensi agama di negara ini menjelang tahun 2020 di peringkat terbaik, sebanyak enam sekolah agama akan dibina di sekitar Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“InsyaAllah enam buah sekolah agama baru akan didirikan di sekitar Segambut berdekatan Projek Perumahan Rakyat Kampung Batu Muda, Setapak dan sekitar Putrajaya dan buat masa sekarang ia dalam proses untuk ditenderkan.
“Seperti di Segambut, jika kita lihat kawasan perumahan dah banyak tetapi institusi pendidikan rendah agama tiada dan kebanyakan ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah agama yang lebih jauh dan sampaikan ada ibu bapa terpaksa memberhentikan anak-anak dari terus bersekolah disebabkan faktor jarak sekolah yang terlalu jauh,” katanya.

Kesemua enam sekolah itu dijangka siap menjelang 2014 dengan anggaran kos pembinaan RM39 juta dan dapat menampung hampir 5,000 pelajar.

Mengenai penubuhan panel khas bagi memantau calon pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang bebas dari unsur ilmu hitam dan syirik, beliau berkata, ia merupakan satu cadangan yang bagus tetapi sehingga kini pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi.

“Ia tidak membabitkan parti Barisan Nasional (BN) sahaja dan pihak pembangkang juga wajar mengambil pendekatan yang serupa…jika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada maklumat berhubung calon yang terbabit dengan kes ini kami akan melaporkannya.

“Ini adalah satu pandangan yang baik dalam memastikan perjalanan PRU-13 akan datang lebih adil dan berjalan lancar,” katanya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO, Fathul Bari Mat Jahaya, menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya, parti politik, JAKIM dan majlis agama Islam negeri (MAIN) untuk menubuhkan satu panel khas bagi memastikan tiada calon yang bertanding dalam PRU-13 akan datang terbabit dengan ilmu hitam dan unsur syirik. – BERNAMA