Sesi belajar dalam surau – Sinar Harian


Sesi belajar dalam surau

NORAFIZA JAAFAR
6 Oktober 2012
Murid-murid belajar dalam keadaan kurang selesa selepas sesi pelajaran terpaksa dilakukan di dalam s
Murid-murid belajar dalam keadaan kurang selesa selepas sesi pelajaran terpaksa dilakukan di dalam surau.

KOTA PUTERI – Seramai 25 murid di sebuah Kafa Integrasi Al-Falah di sini menggunakan surau yang diubahsuai untuk tujuan pembelajaran sejak awal tahun lalu.

Pengerusi surau yang juga penyelia sekolah, Ahmad Mohamed berkata, pihaknya bercadang mengumpul dana RM150,000 untuk membina sebuah sekolah enam kelas bagi menggantikan kelas sedia ada.

Menurutnya, kelas yang tidak sempurna antara faktor utama ibu bapa tidak yakin menghantar anak mereka ke Kafa itu menyebabkan ramai kanak-kanak di kawasan itu tidak bersekolah agama.

“Sekolah agama terdekat terletak di Ijok iaitu kira-kira tiga kilometer dari Kota Puteri pastinya menyukarkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka kerana faktor masa dan tekanan kerja.

“Atas faktor itu, hasil perbincangan pihak surau dan ibu bapa bersetuju untuk mewujudkan satu Kafa di Kota Puteri dan menjadikan kelas sementara di surau,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Namun begitu katanya, perancangan masa depan diatur supaya sekolah agama dapat dibina dalam tempoh 10 tahun dari sekarang untuk memenuhi permintaan penduduk.

“Dianggarkan 200 unit rumah telah siap di kawasan sekitar sini dan dijangka akan meningkat berikutan pertumbuhan pesat melalui projek perumahan yang sedang giat dijalankan.

“Buat masa ini segala pengurusan Kafa adalah di atas sumbangan pihak perseorangan dan juga syarikat swasta yang sudi menyalurkan bantuan kewangan untuk melancarkan proses pembelajaran,” katanya.

Malahan beliau berkata, gaji empat guru yang dipertanggungjawab memberikan ilmu kepada 25 murid juga menggunakan wang hasil sumbangan itu.

Justeru itu katanya, untuk mencapai hasrat membina sekolah agama itu, pihaknya kini sedang giat mengumpul dana dan dalam proses permohonan kepada pihak berkaitan.

Pelajar terdedah risiko bahaya – Sinar Harian


Pelajar terdedah risiko bahaya

NORAFIZA JAAFAR
3 Oktober 2012
Kawasan projek
Kawasan projek digunakan pelajar untuk ulang alik ke sekolah setiap hari dibimbangi membahayakan keselamatan mereka.

BATU CAVES – Pembinaan projek perumahan yang terlalu hampir dengan kawasan Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas di sini yang tidak dilengkapi dengan ciri keselamatan didakwa mengundang bahaya dan hanya menunggu masa untuk runtuh.

Difahamkan tiga bulan lalu, pemilik tanah jenis persendirian itu telah dikenakan tindakan termasuk arahan menghentikan projek selepas berlaku runtuhan tebing.

Namun, tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, projek yang siap 80 peratus itu telah bermula seperti biasa dan terdapat seorang pekerja sedang mengecat rumah jenis dua tingkat enam pintu itu.

Menurut penduduk yang enggan dikenali, tebing yang runtuh tidak dibaiki sebaliknya hanya ditutupi plastik dan pita kuning yang digunakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah ditanggalkan.

Sumber memaklumkan, tebing yang runtuh itu menyebabkan sistem saliran di bawah tebing tertimbus.

“Apabila hujan, air akan menutupi jalan serta melimpah ke rumah penduduk di tanah rendah,” katanya.

Justeru, dia meminta supaya pihak berkaitan memantau perkara itu dan membaiki sistem saliran dalam kadar segera untuk mengelakkan banjir kilat.

Keadaan juga katanya berbahaya kepada pelajar memandangkan lokasinya yang bersebelahan dengan sekolah dan digunakan oleh pelajar untuk berulang alik dari sekolah ke rumah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Komunikasi MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, pihaknya mengakui sebelum ini pemilik telah diberikan notis kerja tanah kerana menjalankan projek tanpa kebenaran.

“Pihak Jabatan Kejuruteraan akan ke tapak esok (hari ini) bagi memastikan mereka menjalankan kerja dengan kebenaran MPS.

“Selain pematuhan undang-undang, ia perlu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya,” katanya.

Liang lahad siap dikorek – Metro


Liang lahad siap dikorek

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TAIPING: “Saya sedih dan tidak sabar menatap wajah anak saudara saya, Nur Afifah walaupun dia sudah meninggal dunia,” kata Hazwani Ismail, 36, ibu saudara Nur Afifah Mohd Zuhari, 16, yang menunggu jenazah pelajar itu yang sampai ke kampungnya di sini, malam tadi.

Menurutnya, jenazah anak saudaranya itu dimaklumkan selamat sampai ke bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akan dibawa pulang ke rumahnya di Taman Panglima, Kamunting, di sini.
Nur Afifah dilarikan seorang lelaki Lombok berusia 20-an pada 18 April lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Rumah Sakit Bhayan Kara, Bolda, Lombok, Indonesia, pada 6 Mei lalu akibat kencing manis.

 

Jenazah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Panglima, Kamunting itu bagaimanapun tersadai di bilik mayat rumah sakit berkenaan sejak 17 hari lalu berikutan mangsa memasuki negara berkenaan secara haram.
Menurut Hazwani, ibu remaja itu, Hasliza ismail, 45, dan bapa, Mohd Zuhari Idris, 46, sudah ke KLIA bagi menunggu ketibaan jenazah Nor Afifah yang tiba petang semalam.
“Kami sudah siap mengorek kuburnya di lahad di tanah perkuburan Masjid Tekkah, tidak jauh dari sini untuk pengkebumiannya,” katanya yang kecewa dengan sikap lelaki Lombok, Indonesia itu melarikan Nur Afifah walaupun menyedari mangsa menghidap kencing manis. Menurutnya, ibu Nur Afifah merayu berulang kali anaknya dipulangkan namun tidak diendahkan. Katanya, lelaki Lombok dikenali sebagai Ahmad Yani, 30, pekerja kontrak di tapak projek perumahan berhampiran rumah Nor Afifah.

Pelajar hilang sebulan ditemui keletihan di stesen LRT – Berita Harian


Pelajar hilang sebulan ditemui keletihan di stesen LRT

2012/02/16

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu selepas mengikut rakannya, ditemui keletihan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sungai Besi dipercayai di kurung di sebuah flat kosong di ibu negara.

Norish Aunie Niesa Mohd Nizam yang dilaporkan hilang ketika keluar pada 29 Disember lalu untuk meraikan sambutan tahun baru, ditemui ibunya Nor Salinda Salleh, 33, pada Rabu minggu lalu sebaik menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan anaknya berada di lokasi terbabit.

Difahamkan Norish Aunie dikurung di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Tun Razak tanpa makan minum, kecuali diberi makan ketika dibawa keluar bersiar-siar.

Mangsa juga terpaksa minum air paip untuk mengalas perut, selain diberi sekeping roti canai pada hari tertentu.

Anak sulung dua beradik itu juga ada meminta rakan menghantarnya pulang, namun tidak dibenarkan dengan alasan dia sudah memaklumkan kepada ibu mangsa tempat tinggalnya.

Nor Salinda berkata, pelbagai usaha dilakukan sepanjang kehilangan Norish Aunie sehingga mendapat panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan lokasi anaknya dan diminta datang segera.

“Hanya Allah yang tahu betapa gembiranya hati saya.
“Sebaik tiba di lokasi terbabit, saya melihat Norish Aunie dalam keadaan letih dan tidak bermaya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Nor Salinda berkata, anaknya memaklumkan, wanita yang menghubungi saya itu adalah jiran di flat tempat dia dikurung yang membantunya membebaskan diri.

“Mengikut cerita Norish Aunie, lebih sebulan kehilangannya itu, beliau berada di flat terbabit bersama rakannya berusia 17 tahun tanpa mengetahui pemilik sebenar rumah itu.

“Malah, anak saya juga tidak dibenarkan keluar dan hanya sekali sekala diberi makan.

“Sebaik rakannya menghilangkan diri, Norish Aunie meminta bantuan jiran itu membawanya keluar sebelum dibawa ke LRT Sungai Besi.

“Memandangkan telefon bimbitnya dirampas Norish Aunie meminta wanita itu menghubungi saya,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pelajar perempuan Tingkatan Satu hilang dipercayai dilarikan rakan perempuan yang baru dikenalinya di sebuah siber kafe di Jalan Ipoh, di sini.