Suami isteri cemas kereta dilarikan bersama anak – Utusan


Suami isteri cemas kereta dilarikan bersama anak

KUALA LUMPUR 24 Mac – Seorang peniaga komputer bersama isteri berdepan dengan detik-detik cemas setelah penjenayah melarikan kereta mereka bersama anak perempuan berusia enam tahun di hadapan Taska Taman Kosas, Ampang dekat sini malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 11.50 malam, ketika pasangan suami isteri itu keluar dari kereta yang masih dihidupkan enjin dengan meninggalkan anak sulung mereka di dalamnya untuk mengambil anak kedua yang dijaga oleh Taska berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kejadian itu disedari oleh isteri mangsa apabila melihat seorang lelaki dipercayai berketurunan Melayu telah mengundur dan melarikan kereta bersama anaknya yang sedang tidur dalam kenderaan tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek telah keluar dari sebuah kereta jenis Proton Waja sebelum masuk ke dalam kenderaan mangsa.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130325/je_05/Suami-isteri-cemas-kereta-dilarikan-bersama-anak#ixzz2OVZrhu00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Geng Boboy Rawang tumpas – Bernama


Geng Boboy Rawang tumpas

27 Julai 2012
SHAH ALAM – Polis percaya dapat menumpaskan satu kumpulan mencuri kenderaan yang dikenali sebagai ‘Geng Boboy Rawang’ dengan tertangkapnya ketua kumpulan itu yang berumur 17 tahun serta 15 anggota yang lain dalam Ops Lejang yang dijalankan selama 10 hari sejak 10 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata anggota kumpulan itu yang kebanyakannya bekerja sebagai mekanik giat melakukan kegiatan curi kereta di sekitar Lembah Klang dengan menyasarkan kenderaan yang menggunakan sistem turbo.

Katanya dengan tertangkapnya kesemua suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata polis sedang mengesan empat lagi suspek termasuk dua abang kepada Boboy yang berumur 27 dan 24 tahun yang dipercayai perancang utama kumpulan itu. Kedua-dua mereka berasal dari Jerteh, Terengganu dan bekerja sebagai mekanik.

Zahedi berkata tangkapan pertama adalah hasil dari aduan seorang mangsa mengenai kehilangan keretanya jenis Proton Satri GTI di Flat PKNS Seksyen 16 di sini pada 10 Julai lepas di mana beberapa jam selepas laporan itu, polis berjaya mengesan kenderaan tersebut di Taman Kota, Cheras.

“Pasukan Cawangan Jenayah Shah Alam yang dibantu oleh anggota Balai Polis Batu 9, Cheras bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan dua suspek termasuk ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai Boboy yang menggunakan kenderaan curi terbabit tetapi telah ditukar nombor pendaftaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zahedi berkata hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menemui satu beg lut sinar mengandungi peralatan dipercayai untuk mencuri kenderaan seperti besi berbentuk T, tukul besi, pemutar skru dan empat batang Ellen Key.

Beliau berkata susulan dari tangkapan itu polis membuat beberapa lagi siri tangkapan disekitar Lembah Klang dan merampas 12 kenderaan iaitu empat Honda, tiga Proton Wira, dua Proton Perdana, masing-masing sebuah kereta Proton Waja, Proton Satria GTI dan Toyota.

Katanya polis turut merampas tiga unit enjin kenderaan yang nombor casisnya telah dirosakkan, sebuah motosikal dan beberapa komponen kenderaan yang dileraikan.

“Tangkapan dan rampasan dilakukan di beberapa lokasi termasuk di sebuah premis rumah kedai di Rawang yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket itu,” katanya.

Zahedi berkata sindiket itu juga didapati menjual kenderaan curi yang telah diubah suai dengan harga sekitar RM30,000 seunit dan komponen kenderaan kepada pelanggan mereka.

“Kita meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes ini supaya tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222 ,” katanya. – Bernama

Remaja nyaris maut bertembung kereta – Sinar Harian


Remaja nyaris maut bertembung kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 April 2012
Remaja nyaris maut bertembung kereta

KULIM – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Waja di Jalan Air Merah kira-kira jam 5 petang semalam.

Menurut mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas, dia datang dari arah pekan Kulim menuju ke lampu isyarat jalan yang sama.

Mangsa berkata, tiba di selekoh Taman Desa Impian kereta Proton Waja keluar dari selekoh untuk menyeberangi jalan sebelum bertembung dengan mangsa.

“Saya dalam perjalanan menuju ke Taman Selasih. Tiba di selekoh Taman Desa Impian kereta Proton Waja itu muncul menyebabkan saya tidak sempat membrek dan bertembung.

“Akibat rempuhan kuat, motosikal saya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya.

Mangsa berkata, dia tercampak ke jalan bertentangan bagaimanapun bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayop menasihatkan penunggang motosikal supaya tidak menunggang motosikal mereka dengan laju terutama di jalan lurus di sekitar pekan Kulim kerana ia boleh mengakibatkan kemalangan sekiranya terdapat kenderaan melintas atau keluar selekoh.

“Sehingga kini kebanyakan kemalangan yang berlaku berpunca dari kecuaian kedua-dua pihak. Pemandu dan penunggang motosikal seharusnya bersikap sabar ketika memandu kenderaan mereka,” katanya.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila mangsa terlibat cuai dan tidak bersikap peka apabila memandu.

“Selain terlibat dalam kemalangan, kecuaian juga boleh mengakibatkan pengguna jalan raya lain terbunuh.

“Sehingga kini kebanyakan kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal. Ini adalah kerana penunggang motosikal terdedah kepada pelbagai kecederaan apabila terlibat dalam kemalangan,” katanya.