Guru syukur kesan kanser awal hasil pemeriksaan sendiri – Bernama


Guru syukur kesan kanser awal hasil pemeriksaan sendiri

2 Oktober 2012

ALOR SETAR – Amalan melakukan pemeriksaan sendiri membolehkan seorang guru mengesan penyakit kanser payu dara yang dihidapinya dari peringkat awal lagi.

Rodziah Awang, 47, yang mula dikesan menghidap kanser payu dara pada pertengahan September tahun lepas kini boleh menarik nafas lega selepas pembedahan yang dilakukan sebulan selepas itu berjaya dan doktor memberitahu dia sudah sihat dan hanya perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan berkala.

Katanya dia tidak mengalami apa-apa simptom sehinggalah pemeriksaan yang dilakukannya sendiri mendapati terdapat benjolan pada payu dara kanannya.

“Syukur sangat-sangat semasa membuat pemeriksaan di hospital doktor memberitahu kanser saya baru berada pada tahun dua dan boleh dirawat,” katanya kepada pemberita selepas menerima cek bernilai RM18,000 melalui Skim Kebajikan Ikhlas Barakah Persatuan Sukan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Kedah (PSKPPK) di Sekolah Kebangsaan Bukit Payung dekat sini hari ini.

Rodziah berkata, dia juga bersyukur kerana telah mencarum dengan Skim Kebajikan Ikhlas Barakah PSKPPK walaupun sebelum ini dia kurang yakin dengan perkhidmatan insurans.

“Saya baru sahaja mencarum dengan skim itu pada Mei tahun lepas dan tidak sangka hari ini saya menerima sebanyak RM18,000 selepas mencarum skim itu,” katanya.

Antara penyakit yang dilindungi skim itu ialah kanser, lumpuh, kemurungan keterlaluan, Parkinson, kencing manis dan jantung. – Bernama