Puad: Dua sekolah masih ditutup akibat banjir – Bernama


Puad: Dua sekolah masih ditutup akibat banjir

3 Januari 2013
Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

HULU TERENGGANU – Dua sekolah, masing-masing satu di Kelantan dan Terengganu masih ditutup akibat banjir, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Dua sekolah yang masih ditenggelami air itu ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah di Rantau Panjang, Kelantan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut, Setiu di Terengganu.

Beliau berkata sehingga kini hanya sebuah sekolah di Kelantan yang masih dijadikan pusat pemindahan banjir iaitu SK Bukit Awang.

“Bagaimanapun, SK Bukit Awang tetap meneruskan sesi persekolahan seperti biasa kerana hanya terdapat 15 mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah itu,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan hari pertama sesi persekolahan 2013 di SK Tengku Ampuan Intan di sini hari ini.

SK Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Agama Mahmudiah dan SK Bukit Tadok di Hulu Terengganu adalah antara sekolah yang baru memulakan penggal persekolahan baru hari ini setelah ditutup dua hari akibat banjir.- Bernama