Pelajar disamun ketika ke sekolah – Metro


Pelajar disamun ketika ke sekolah

NOR FARHANA ABDUL MANAN
17 Februari 2012
pelajar ditumbuk

PUCHONG – Niat baik seorang pelajar ke sekolah mendapatkan ilmu pengetahuan bertukar detik hitam apabila dia cedera ditumbuk empat lelaki di Taman Sri Puchong di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, mangsa, Chia Poh Kang, 16, dikatakan berjalan kaki dari rumahnya di SP6C ke perhentian bas di depan pusat beli belah Tesco.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Kinrara, Dr Kow Cheong Wei berkata, ketika tiba di satu simpang perumahan, mangsa didatangi sekumpulan lelaki menaiki dua motosikal.

“Biasanya mangsa akan berjalan kaki sekitar 15 minit untuk ke perhentian bas berkenaan. Namun pagi tadi (semalam) belum sampai lima minit berjalan, dia diserbu empat lelaki berusia lingkungan 20-an.

“Salah seorang daripada lelaki itu bertanya kepadanya arah jalan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Jaya B. Mangsa kemudian memberitahu dia tidak tahu,” katanya yang menerima aduan daripada bapa mangsa berhubung kejadian itu, pagi semalam.

Cheong Wei yang juga Ketua Pemuda MCA Selangor berkata, tanpa banyak bicara, dua rakan lelaki itu kemudian menolak mangsa sehingga jatuh ke atas jalan.

“Mangsa ditumbuk berkali-kali sehingga mendakwa tidak mampu menjerit meminta tolong daripada penduduk di kawasan perumahan berhampiran.

“Suspek yang tidak berhati perut itu kemudian mengambil dompet duit mangsa yang berisi sejumlah wang, kad pengenalan dan telefon bimbit,” katanya dalam keadaan kesakitan mangsa kemudian berpatah balik pulang ke rumahnya sementara suspek melarikan diri.

Beliau berkata, mangsa mengalami luka dan lebam di bahagian bahu kanan akibat ditumbuk.

“Mungkin salah seorang suspek memakai cincin menyebabkan bahu mangsa berlubang dan mengalami luka yang dalam.

“Dia kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan di Balai Polis Puchong ditemani ibunya,” katanya.

Cheong Wei berkata, apa yang dikesalkan adalah, jalan perumahan itu gelap kerana lampu sudah begitu lama tidak berfungsi.

“Mungkin tiada orang nampak kejadian kerana suasana sungguh gelap. Saya akan menulis surat kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memaklumkan perkara itu.

“Dalam masa sama, saya meminta polis mempergiatkan rondaan untuk mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Rumah anak yatim di Puchong terbakar – Metro


Rumah anak yatim di Puchong terbakar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seramai 33 kanak-kanak dari rumah anak yatim “House of Joy” hilang tempat berlindung apabila rumah dua tingkat yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Taman Tenaga, dekat Puchong, di sini, hari ini.

Kebakaran pada pukul 10.50 pagi itu dipercayai bermula di salah sebuah bilik di tingkat atas sebelum merebak ke bahagian lain sehingga memusnahkan keseluruhan tingkat atas bangunan itu manakala 60 peratus daripada tingkat bawah rumah berkenaan turut musnah.

Bagaimanapun, 20 kanak-kanak berusia antara enam hingga 17 tahun yang berada di tingkat bawah ketika itu berjaya diselamatkan.

Pemangku Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Anuar Harun berkata sebanyak tiga jentera bomba dengan 27 anggota dan pasukan siasatan forensik tiba di tempat kejadian pada pukul 10.59 pagi untuk mengawal kebakaran.

 
Katanya punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Anuar berkata kanak-kanak itu akan ditempatkan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya di Puchong Jaya, buat sementara waktu. – Bernama