Dua beradik trauma dipukul bapa
7 Februari 2013
PUCHONG – Tidak tahan melihat cucunya sering dibelasah bapa kandung sendiri, seorang nenek terpaksa membuat laporan polis untuk keselamatan dua kanak-kanak itu.
Difahamkan, dua beradik lelaki berusia 10 dan 11 tahun itu sering dipukul bapa mereka menggunakan getah paip dan rotan.
Lebih menyedihkan, bapa kandung terbabit dikatakan tergamak membakar buku dan pakaian sekolah anaknya apabila gagal mengawal perasaan marahnya.
Sumber berkata, disebabkan tidak sanggup menanggung rasa sakit, dua kanak-kanak itu dikatakan melarikan diri ke rumah neneknya yang terletak tidak jauh dari kawasan rumah didiaminya.
Menurut sumber itu, kanak-kanak terbabit meninggalkan sekeping nota meminta maaf kepada bapanya selain menyatakan mereka takut untuk tinggal bersama lelaki panas baran itu lagi.
Dua kanak-kanak malang itu dikatakan ‘bersembunyi’ di rumah neneknya selama beberapa hari di sebuah pangsapuri di Puchong Permai, di sini kerana trauma dengan tindakan bapanya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, nenek mangsa berusia 61 tahun yang takut anak lelakinya membuat kacau di rumahnya mengadu kejadian di Balai Polis Bukit Puchong.
Katanya, polis dimaklumkan ibu kandung kedua-dua kanak-kanak itu warga Indonesia dan pulang ke kampung halamannya sejak anak keduanya belum berusia setahun.
“Bertindak atas aduan, kami menahan bapa kandung mangsa di rumahnya dan kedua-kedua kanak-kanak itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. Berdasarkan pemeriksaan terdapat parut lama di tubuh badan kanak-kanak itu.
“Suspek direman sehingga Khamis (esok) dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a)Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.