Permata Hatiku dedah teknik belajar berkesan – Sinar Harian


Permata Hatiku dedah teknik belajar berkesan
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Jun 2012

Azman menunjukkan cara yang mudah dan berkesan bagi membantu murid Linus menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira
MACHANG – Dalam usaha membantu murid tahun dua dan tiga menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong menganjurkan Program Permata Hatiku, di sini, baru-baru ini.

Guru Besarnya, Abdul Rahman Hussin berkata, bagi menangani masalah itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merancang bagi mengatasi masalah tersebut dengan mengadakan Program Literasi dan Numerasi (Linus).

Katanya, kerjasama dan kesungguhan guru mampu menjayakan program ini dan seterusnya melahirkan murid sifar Linus.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang terlibat menjayakan Program Linus ini. Semoga usaha murni ini membuahkan hasil terbaik,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program, Noriah Che Soh berkata, program itu dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada murid pemulihan Linus tentang teknik pembelajaran menarik dan berkesan.

Katanya, pendedahan berterusan mampu meningkatkan penguasaan murid-murid dalam membaca, menulis dan mengira.

“Unit Kurikulum SK Pulai Chondong menyedari bahawa isu asas Literasi dan Numerasi masih belum diatasi sepenuhnya walaupun telah dilaksanakan pelbagai program kesinambungan daripada program sedia ada.

“KPM menyasarkan semua murid tiada masalah pembelajaran berkeupayaan mengatasi asas Literasi dan Numerasi sebelum berakhir persekolahan tahap satu.

“Sehubungan itu, program ini dirancang untuk dilaksanakan bagi menyahut cabaran KPM tersebut,” katanya.

Noriah yang juga Penolong Kanan Ko-Kurikulum SK Pulai Chondong berkata, program itu melibatkan 20 murid dari kelompok literasi dan numerasi.

Katanya, program itu dikendalikan Guru Cemerlang Pemulihan, Mohd Azman Mohd Yusoff selain guru pemulihan dan guru Linus.

“Program ini juga adalah bagi memenuhi keperluan program, kelayakan profesional pendidikan kebangsaan (NPQEL) kohort 1/2012 anjuran Institut Aminuddin Baki, KPM,” katanya.

Saluran darah terputus akibat mercun – Utusan


Saluran darah terputus akibat mercun

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my
Pergelangan Nik Shazreen yang cedera akibat terkena mercun bola.

KOTA BHARU 8 Ogos – Seorang pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Oktober ini putus salah satu saluran darah di tangan kirinya selepas mercun bola yang dipasang remaja itu meletup sebelum sempat dibaling.

Dalam kejadian pukul 10 malam tadi, Nik Shazreen Nik Zaulaimi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas di sini mengalami kecederaan itu selepas terkena serpihan mercun.

Bapanya, Nik Zulaimi Mat Salleh, 45, ketika kejadian dia sedang minum di rumah selepas pulang menunaikan solat tarawih.

“Pada masa itu, anak saya sedang bermain mercun bersama beberapa rakannya di padang permainan kira-kira 50 meter dari rumah kami di Taman Anggerik, Kok Lanas.

“Tiba-tiba, anak saya pulang ke rumah dengan tangan kirinya berlumuran darah dan memberitahu tangannya terkena serpihan mercun bola yang dipasang.

“Katanya, mercun itu meletup terlalu cepat kerana sumbunya pendek sehingga tidak sempat dibaling jauh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Melihat keadaan kecederaan yang dialami, Nik Zulaimi segera menghantar anaknya ke Klinik Pulai Chondong sebelum dirujuk ke Hospital Machang.

Bagaimanapun, kecederaan anak kedua daripada lima adik beradik itu serius menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk mendapat rawatan lanjut.

“Saya pernah melarangnya bermain mercun sebelum ini tetapi tidak diendahkan, selepas apa yang berlaku, saya pasti dia sudah serik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, mangsa dirujuk ke hospital kira-kira pukul 12.42 malam tadi sebelum menjalani pembedahan kira-kira pukul 9.30 pagi ini.