Asrama sekolah terbakar, 81 tinggal sehelai sepinggang – Bernama


Asrama sekolah terbakar, 81 tinggal sehelai sepinggang

 

KUNAK 4 Julai – Sejumlah 81 pelajar Sekolah Menengah Agama Kunak di sini tinggal sehelai sepinggang selepas asrama sementara yang menempatkan pelajar lelaki musnah dalam kebakaran awal hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kunak Jaafar Salleh berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 3.20 pagi sebelum menggegaskan dua jentera dan sebuah kenderaan pelbagai guna berserta 11 anggota ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di kawasan sekolah, 90 peratus daripada bangunan asrama sementara itu sudah dijilat api,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun dalam kebakaran itu tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan, katanya.

Seorang guru sekolah berkenaan, Samsiah Baharon, ketika dihubungi berkata pelajar mula menduduki bangunan asrama sementara itu pada tahun 2011 selepas bangunan asal asrama sekolah berkenaan musnah dalam kebakaran pada tahun 2010.

Katanya pihak sekolah bersyukur kerana semua penghuni asrama, terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan enam, selamat.

Difahamkan kesemua penghuni bangunan asrama lelaki yang musnah itu diarahkan kembali ke rumah keluarga masing-masing buat sementara waktu. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130704/je_06/Asrama-sekolah-terbakar-81-tinggal-sehelai-sepinggang#ixzz2Y3edT91b
© Utusan Melayu (M) Bhd

Remaja nyaris rentung – Sinar Harian


Remaja nyaris rentung

HAZELEN LIANA KAMARUDIN
16 Januari 2013
Remaja nyaris rentung
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Badang.

KOTA BHARU – Gara-gara tertidur akibat kepenatan selepas pulang dari sekolah, seorang remaja, Mohd Syafiq Nizam Norizan, 15, nyaris rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Badang, di sini.

Dalam kejadian tersebut Mohd Syafiq yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Badang itu dipercayai terlena di atas sofa di ruang tamu selepas pulang dari sekolah pada jam 2 petang.

Dia berkata, kejadian itu hanya disedarinya apabila terdengar jeritan jiran tetangga yang memanggil namanya supaya keluar menyelamatkan diri.

“Saya terkejut apabila sedar dari tidur melihat kepulan asap telah memenuhi ruangan rumah dan lari keluar menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun saya sempat menyelamatkan dokumen penting keluarga yang disimpan oleh ibu di dalam laci almari selepas diminta oleh jiran tetangga untuk menyelamatkan barangan berharga,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, ketika kejadian dia hanya tinggal seorang diri di rumah kerana kedua ibu bapanya, Norizan Ibrahim, 53, dan Maria Omar, 40, ke rumah saudara di Pasir Puteh.

Mohd Syafiq  berkata, turut bersama ibu bapanya ialah dua lagi adik beradiknya iaitu Mohd Syazmi Nizam, 14, dan Nor Syakira, 3 tahun.

Dia berkata, seorang lagi adiknya, Nor Shakirin, 8, berada di sekolah kerana mengikuti kelas fardu ain.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Kota Bharu, Mohamad Saberi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.36 petang.

“Seramai 21 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba Kota Bharu dikejarkan ke tempat kejadian untuk kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata, api berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit dan anggaran kerugian serta punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.

Tercicir anak OKU – Metro


Tercicir anak OKU

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Sibu: “Saya fikir semua ahli keluarga sudah diselamatkan, tetapi ketika sudah berada di luar baru saya sedar seorang lagi anak saya yang tidak boleh berjalan itu masih berada dalam bilik,” kata ibu kepada seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) yang rentung dalam kebakaran asrama pekerja di Jalan Sungai Antu di sini, semalam.

Wanita itu yang dikenali sebagai Mayang, 40, berkata, anaknya Nanang Sabat, 8, gagal diselamatkan dan mayatnya yang rentung ditemui di hadapan pintu bilik tingkat dua bangunan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, sebahagian besar bangunan asrama berkenaan yang dibina daripada kayu dan menempatkan tujuh bilik dihuni pekerja limbungan kapal, musnah.

 

Akibatnya, 50 orang penghuninya tinggal sehelai sepinggang dan kebakaran dipercayai berpunca daripada salah sebuah bilik di asrama itu.
Mayang berkata, ketika kejadian kebanyakan penghuni asrama sedang berehat di bilik masing-masing, manakala dia sibuk menyiapkan hidangan tengah hari.
Menurutnya, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan kuat diikuti suara menjerit memberitahu berlaku kebakaran sambil mengarahkan semua penghuni keluar menyelamatkan diri.

 

“Dengan pantas saya mengambil dokumen pengenalan diri sebelum membawa empat anak yang lain berumur antara 11 bulan hingga 13 tahun keluar menyelamatkan diri.
“Dalam keadaan kelam-kabut, saya tidak sempat menyelamatkan Nanang. Saya cuba masuk semula untuk menyelamatkannya tetapi gagal kerana api marak dengan pantas,” katanya.

 

Sementara itu, jurucakap bomba ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.47 tengah hari dan berjaya memadamkan kebakaran 10 minit kemudian dengan bantuan dua jentera dan 16 anggota.
Katanya, punca kebakaran yang memusnahkan 90 peratus bangunan asrama itu masih dalam siasatan, selain belum mengenal pasti jumlah kerugian dialami penghuni asrama.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga bagi dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07