Lepasan sekolah digesa rebut peluang ambil kursus kemahiran MARA – Bernama


Lepasan sekolah digesa rebut peluang ambil kursus kemahiran MARA

2013/04/09 – 19:12:46 PMCetakEmel Kawan
BESUT: Lepasan sekolah digesa merebut peluang mengikuti kursus di Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Pusat GiatMARA yang menawarkan pelbagai kursus kemahiran yang sesuai dengan keperluan pasaran kerja negara.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Idris Jusoh, berkata terdapat banyak peluang kerja yang memerlukan kemahiran teknikal, elektrik, mekanikal, pembuatan logam, grafik, animasi dan bidang pemakanan.

“Lepasan sekolah yang kurang cemerlang dalam akademik tidak perlu kecewa kerana mereka boleh mengikuti kursus kemahiran yang ditawarkan IKM dan GiatMARA,” katanya ketika melancarkan Karnival Pengajian Tinggi dan Penyampaian Sumbangan Bantuan Pelajar oleh Yayasan Pelajaran Mara di Jerteh di sini, hari ini.

“Dalam manifesto Barisan Nasional (BN) baru-baru ini… perdana menteri berjanji sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam mengatasi masalah pengangguran di kalangan remaja,” katanya.

Katanya, kursus yang ditawar GiatMARA di peringkat sijil untuk bidang kemahiran seperti dalam bidang perhotelan, makanan, jahitan dan sulaman boleh menghasilkan pendapatan yang baik.

Pada majlis itu, seramai 200 pelajar sekolah menengah di Besut menerima bantuan pembelajaran berupa buku dan alat tulis daripada Yayasan Pelajaran MARA. – BERNAMA

Pelajar gagal SPM boleh ikuti kursus GiatMara – Bernama


Pelajar gagal SPM boleh ikuti kursus GiatMara 

2012/03/27

RAUB: Pusat GiatMara menawarkan kursus dan latihan kemahiran kepada pelajar yang gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengerusi Pusat GiatMara, Datuk Shahiruddin Ab Moin, berkata 36 jenis kursus jangka panjang dan pendek serta latihan untuk 20,000 orang dianjurkan tahun ini.

Katanya, kursus itu antaranya melibatkan bidang kimpalan, pertukangan, jurubina, mengecat, mekanik, elektrik, masakan, gunting rambut dan persolekan.

Shahiruddin berkata, negara memerlukan sekurang-kurangnya 3.2 juta pekerja mahir dan terlatih menjelang 2020.

Katanya, peluang yang disediakan itu perlu dimanfaatkan kerana ia dapat menjamin masa depan belia daripada segi pendapatan. – BERNAMA