Wujudkan sekolah khas autisme – Utusan


Wujudkan sekolah khas autisme
Rosmah Mansor bersama kanak-kanak pesakit Autisme di Rumah Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom) di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 18 Jun – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mencadangkan penubuhan sekolah pendidikan khas kanak-kanak autistik bagi membantu golongan itu mendapat pendidikan sempurna demi masa depan mereka.

Beliau berkata, Malaysia boleh mengambil contoh pusat pemulihan autistik di Ivymount, Rockville, Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sebuah pusat pendidikan khas khusus memberi pengajaran menerusi bidang muzik.

”Sewaktu saya mengikuti lawatan di sana pada 2010, saya mendapati kanak-kanak autistik di pusat tersebut berkeupayaan dan lebih mudah memahami selain mampu berinteraksi dengan baik menerusi muzik, nyanyian serta tarian.

”Sehubungan itu, jika kanak-kanak autistik ini mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang, kita seharusnya membantu mengenal pasti dan mengembangkan minat dan bakat tersebut agar masa depan mereka terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penyerahan majlis sumbangan Rock Melon kepada Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom) di sini hari ini.

Rosmah yang juga Penaung Permata Negara berkata, beliau bersedia membuka jalan bagi mewujudkan sekolah seumpama itu di samping menyarankan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat mengendalikan sekolah tersebut.

Beliau seterusnya menasihati para ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap autisme supaya tidak menyesali kekurangan anak-anak mereka, sebaliknya membimbing dan membantu mengembangkan minat serta bakat anak-anak tersebut.

”Barangkali bakat tersebut dapat dijadikan sumber mata pencarian apabila mereka dewasa kelak. Jika muzik adalah minatnya, berikan instrumen yang digemarinya, jika melukis adalah kebolehannya maka sediakan kelengkapan secukupnya.

”Semakin lewat anak ini diberikan perhatian sewajarnya, semakin sukar untuk mengatasi masalah kalangan mereka. Kerana itu ibu bapa perlu mengesan simptom ini lebih awal agar anak-anak ini dapat dihantar ke sekolah khas lebih awal,” katanya.

Di Malaysia, dianggarkan satu daripada 600 kanak-kanak adalah pengidap autistik, statistik terkini juga menunjukkan kira-kira 47,000 daripada jumlah penduduk negara adalah penghidap autisme dan daripada jumlah itu empat atau lima orang bagi 10,000 pesakit mengalami autisme tulen.

Berjudi Di Kalangan Remaja Semakin Popular Dengan Peningkatan Kasino Di Internet – mStar


Berjudi Di Kalangan Remaja Semakin Popular Dengan Peningkatan Kasino Di Internet
Oleh YUEN MEIKENG

PETALING JAYA: Golongan yang berjudi kini terdiri daripada golongan yang lebih muda dengan jumlah mereka yang mencuba nasib berjudi di internet semakin meningkat.

Selain perjudian di kasino dalam talian, terdapat juga penjudi muda serendah usia 13 yang bertaruh keputusan perlawanan bola sepak di sekolah.

Presiden Pusat Pemulihan Penjudi Malaysia, David Chiang berkata golongan muda yang berjudi menunjukkan ‘trend’ membimbangkan, dengan sebahagian daripadanya sudah menjadikannya sebagai tabiat ketika berumur 15.

“Remaja biasanya berjudi melalui internet kerana ia tidak dikawal selia. Mereka jelas akan dihalang berjudi di kasino kerana umur mereka. Jadi mereka berpaling kepada kasino dalam talian,” katanya.

Chiang berkata remaja juga boleh menipu ibu bapa mereka yang percaya mereka melayari internet walaupun sebenarnya mereka berjudi dalam talian.

“Ibu bapa akan mudah percaya kepada mereka kerana internet adalah sebahagian besar daripada gaya hidup remaja hari ini,” katanya,

Chiang berkata, golongan muda dapat berjudi di kasino dalam talian kerana mereka boleh meminjam kredit daripada broker dalam talian, yang menawarkan perkhidmatan mereka di laman web.

“Jika penjudi remaja kehilangan kredit, broker akan membayar dahulu kepada kasino dalam talian dengan kad kredit. Remaja itu perlu membayar balik kepada broker dalam bentuk wang tunai,” katanya, sambil menambah selain pertaruhan permainan seperti ‘roulette’ dan ‘poker’, penjudi muda juga gemar dengan pertaruhan sukan, terutama bola sepak.

“Setahu saya penjudi paling muda yang mempunyai tabiat ini berusia 15 tahun. Penjudi ini sebenarnya ketagih berjudi tetapi mereka tidak sedar,” katanya.

Chiang berkata ketika masalah perjudian remaja semakin meluas di seluruh negara, satu lagi trend yang membimbangkan ialah kanak-kanak sekolah yang meminjam wang daripada Ah Long untuk membayar hutang perjudian mereka.

“Beberapa Ah Long tahu ibu bapa remaja mampu membayar hutang anak mereka dan tidak teragak-agak menggalakkan remaja membuat pinjaman,” kata Chiang.

Beliau berkata golongan muda terjebak dengan perjudian kerana ramai daripada mereka mahukan cara yang pantas untuk mendapatkan wang bagi membeli telefon bimbit, komputer dan barangan berjenama.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata beliau telah menerima enam kes masalah perjudian yang melibatkan mereka yang berusia antara 16 dan 18 tahun, berjumlah RM200, 000 setakat tahun ini.

“Ini dianggap peningkatan kerana tahun lepas saya menerima kurang daripada 10 kes. Saya telah mendapat enam dan jumlah ini hanya pada bulan Jun, “katanya.

Chong berkata beliau percaya hanya sebahagian kecil kes-kes seperti ini yang mendapat perhatian, sambil menambah belia telah bertemu remaja yang berada dalam masalah serius dan perlukan bantuan.

“Terdapat banyak di luar sana yang memilih untuk tidak mendapatkan bantuan,” katanya.

Kira-kira 80 peratus kes-kes perjudian melibatkan kaum Cina, dengan baki 20 peratus bagi kaum-kaum lain, tambah beliau.