Murid cedera van terbalik – Metro


Murid cedera van terbalik

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Dua murid sebuah sekolah rendah di Bandar Utama, Petaling Jaya parah manakala lapan lagi cedera ringan selepas van persendirian yang dinaiki mereka terbalik berhampiran persimpangan lampu isyarat di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, van yang dipandu lelaki berusia 40-an membawa murid berusia antara tujuh dan 12 tahun itu dalam perjalanan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Effingham.
Bagaimanapun, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Bandar Utama, bahagian belakang van berkenaan dirempuh kereta Perodua Kancil menyebabkan ia terbabas dan terbalik.

 

Akibatnya, dua murid yang berada di bahagian belakang iaitu P Kavilashini, 10, cedera di bahagian kepala manakala rakannya R Suria Raja, 11, yang duduk di sebelah pemandu pula patah kaki kanan.
Kedua-dua murid berkenaan yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dijangka menjalani pembedahan segera.
Seorang mangsa, B Lavanya, 11, berkata, ketika itu keadaan masih gelap dan dia hanya mendengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang sebelum van berkenaan terbalik.

 

“Keadaan itu sangat menakutkan dan saya tidak mampu mengingati kejadian sebenar,” katanya yang masih trauma dan dirawat sebagai pesakit luar kerana mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan.
Difahamkan, pemandu van berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan enggan ditemu bual kerana masih terkejut dengan kejadian yang turut membabitkan dua anaknya.

 

Sementara it u, Penyelaras MIC Parlimen Subang A Prakash Rao berkata, pihaknya bergegas ke PPUM sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu dan bersyukur ia tidak membabitkan kemalangan jiwa.
“Sembilan murid yang terbabit dalam kemalangan itu dikejarkan ke PPUM manakala seorang daripada mereka dibawa ke Hospital Sungai Buloh oleh keluarganya yang terus pergi ke lokasi kejadian sebaik menerima berita itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

Dua Parah Van Bawa Murid Sekolah Terbalik Dirempuh Kereta – Bernama


Dua Parah Van Bawa Murid Sekolah Terbalik Dirempuh Kereta

PETALING JAYA: Dua murid berumur 10 dan 11 tahun cedera parah masing-masing di kepala dan kaki, apabila van persendirian yang membawa mereka ke sekolah terbalik selepas dirempuh kereta di Bandar Utama di sini, Selasa.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, van yang membawa 10 murid berumur antara tujuh dan 12 tahun itu dalam perjalanan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Effingham, Bandar Utama.

Susulan kemalangan, sembilan murid termasuk dua yang parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala seorang lagi dirawat di Hospital Sungai Buluh.

Saksi kejadian berkata van yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an itu dirempuh dari belakang ketika melepasi persimpangan lampu isyarat menuruni jalan berbukit.

Ketika ditemui pemberita di PPUM, Penyelaras MIC Parlimen Subang A.Prakash Rao berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak sekolah sebelum bergegas ke PPUM.

“Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku, namun dua murid cedera parah dan yang lain cedera ringan…dua yang parah menjalani pembedahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed yang mengesahkan kejadian itu, memberitahu Bernama pemandu kereta terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara.

Menceritakan detik cemas itu, B. Lavanya, 11, yang cedera di lutut, berkata dia berada di bahagian tengah tempat duduk penumpang apabila van milik jirannya itu dirempuh di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Seorang guru lelaki yang enggan dikenali menamakan sembilan murid yang dibawa ke PPUM itu sebagai P.Kavilashini, D.Sineka, R.Suriaraja, K.Susan, A. Danushwaran, K.Melvin, A.Varsha, S.Sathia dan Lavanya.

Nama murid yang dibawa ke Hospital Sungai Buluh bagaimanapun belum dapat dikenal pasti.-BERNAMA

Maut jatuh tingkat 7 – Sinar Harian


Maut jatuh tingkat 7
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Ogos 2012
PETALING JAYA – Seorang pelajar tingkatan 3 maut selepas terjatuh dari tingkat 7, Flat Vista, Kampung Sungai Kayu Ara, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa dikenali sebagai B Vinod, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama maut di tempat kejadian berikutan kecederaan yang dialami.

Siasatan awal pihaknya mendapati, mangsa mengalami kecederaan teruk pada kepala dan patah tangan kiri.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Wan Arif teruja ke sekolah – Sinar Harian


Wan Arif teruja ke sekolah

NORMAWATI ADNAN
21 April 2012
Wan Arif teruja ke sekolah

BATU GAJAH – Setelah hampir empat bulan ‘terpinggir’ daripada suasana sekolah, semalam, menjadi hari istimewa bagi Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy, 8, penghidap kanser tulang apabila dapat mengikuti sesi pembelajarannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Indera Wangsa Ahmad.

Ketika ditemui, Wan Arif, murid Tahun Dua Kreatif ini kelihatan ceria apabila dikelilingi 34 rakan sekelas yang lain.

Dia yang begitu teruja apabila ingin dibawa ke sekolah, sudah bersiap seawal jam 10 pagi meskipun sesi pembelajaran petang hanya bermula pada 12 tengah hari.

“Saya memang tak sabar untuk ke sekolah, rasa seronok sangat dapat jumpa kawan-kawan,” katanya.

Guru Besar, Dahlia Hassan berkata, kehadiran Wan Arif yang dikenali sebagai kanak-kanak ceria di sekolah itu adalah sesuatu yang ditunggu murid dan guru sekolah berkenaan.

“Walaupun dia bercuti, tetapi saya dimaklumkan dia tidak pernah lupa untuk mengulang kaji pelajaran di rumah dan selalu belajar sambil dibantu ibu bapanya, ini sesuatu yang perlu dicontohi semua murid.

“Di sebalik keperitannya menanggung kesakitan, dia masih menunjukkan minat untuk belajar dan mahu datang ke sekolah, sebagai guru, saya kagum melihat semangat yang ditunjukkan itu,” katanya.

Difahamkan, Wan Arif hanya sempat hadir ke sekolah berkenaan Januari lalu untuk sesi pendaftaran tahun dua.

Sesi pembelajaran kelas Dua Kreatif, semalam juga agak istimewa kerana ia dibuat di pekarangan Dewan al-Ghazali berbanding kelas asal di tingkat tiga bangunan sekolah.

Dahlia berkata, langkah itu dibuat bagi memberi ruang lebih besar kepada warga sekolah berkenaan bertemu dengan Wan Arif.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam proses melancarkan tabung bagi membantu membiayai kos rawatan Wan Arif.

Wan Arif dijadualkan akan mengikuti rawatan kemoterapi kali keempat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Isnin ini.

Misteri ‘van putih’ kembali – Metro


Misteri ‘van putih’ kembali

Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
HILANG...Zahedi menunjukkan gambar Nazatul Fadiana yang ditemui  di Bangkok.
HILANG…Zahedi menunjukkan gambar Nazatul Fadiana yang ditemui di Bangkok.

SHAH ALAM: Misteri ‘van putih’ kini kembali apabila mangsa culik Nazatul Fadiana Mohd Izwan, 14, yang ditemui di Bangkok 11 Mac lalu, dikatakan diculik sekumpulan lelaki tidak dikenali menaiki van berwarna putih sewaktu berada berdekatan sebuah restoran di Seksyen 9, di sini pada hari kejadian 30 Januari lalu.

Perkara itu diceritakan mangsa kepada ibunya dalam perbualan telefon pada 12 Mac lalu selepas diselamatkan polis Thailand sewaktu ditemui di Stesen Kereta api Hualamphong, Bangkok, Thailand.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, apa yang diceritakan mangsa kepada ibunya belum cukup untuk polis mengaitkan kejadian berkenaan dengan motif sebenar mangsa dilarikan ke Thailand.

 

“Ini kerana buat masa ini polis belum mendapat sebarang maklumat daripada mangsa kerana dia masih dalam keadaan trauma dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.
Sebelum ini, sebuah van putih turut dikaitkan dengan kejadian penculikan Nurin Jazlin Jazimin, 8, di pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos, 2007.
Ada saksi ternampak Nurin ditarik masuk ke dalam sebuah van sebelum mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran PJS1, Petaling Jaya, beberapa hari kemudian. Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal Januari 2008 selepas didakwa dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van putih di Cheras. Mangsa gagal ditemui sehingga kini.

 

 

Zahedi berkata, Nazatul Fadiana atau lebih dikenali sebagai Nana akan terus mendapatkan rawatan di PPUM manakala lima warga Myanmar masing-masing tiga lelaki dan dua perempuan yang diselamatkan bersama mangsa kini masih berada di Bangkok, Thailand.
“Semua warga Myanmar terbabit berdaftar di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Mereka dibawa pulang ke Malaysia bagi membantu polis mengumpul bukti dan menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya.

 

Menurutnya, Nana menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok dan tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), di Sepang, dengan diiringi ibunya, selain beberapa pegawai polis dan imigresen Thailand, malam kelmarin.
“Sebaik mendarat, mangsa terus dikejarkan ke PPUM, Petaling Jaya untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya. Akhbar semalam melaporkan, Nazatul Fadiana dilaporkan hilang selepas dihantar ibunya ke perhentian bas di Seksyen 9, di sini bagi mengulang kaji pelajaran bersama rakannya, pada jam 3 petang, 30 Januari lalu.
Namun, sehingga malam hari kejadian, mangsa tidak pulang ke rumah sebelum ibunya membuat laporan polis di IPK Selangor. Selepas dua bulan dilaporkan hilang, mangsa diselamatkan polis Thailand yang menemuinya di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok, bersama lima warga Myanmar, 11 Mac lalu.