
Rosni bersama isteri menunjukkan surat kesihatan dua anaknya Muhammad Alif Irfan (kiri) dan Nur Ain Sakinah.
KUBUR PANJANG – Sepasang suami isteri di Kampung Lahar Tunjung Mukim Rambai di sini merayu supaya orang ramai dapat memberi bantuan kewangan untuk menampung kos rawatan dua anak mereka.
Nur Ain Sakinah Rosni, 9, dan Muhammad Alif Irfan Rosni, 8, menghidap kanser darah atau dikenali sebagai Relapsed Acute Lymphoblastic Leukaemia.
Oleh itu, mereka memerlukan kos rawatan dan pengangkutan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Universiti Malaya.
Sinar Harian difahamkan Muhammad Alif yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu menghidap penyakit itu sejak Mei 2011 manakala Nur Ain Sakinah menghidap penyakit terbabit pada Mac lalu.
Sejak itu dua beradik tersebut tidak dapat menghadiri persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang kerana terpaksa memakai alat kemoterapi.
Rosni Shaari, 51, bersama isterinya, Faridah Abdul Rahman, 47, merayu bantuan kewangan daripada orang ramai supaya dapat membantu menampung kos rawatan dan pengangkutan anak mereka ke tempat rawatan.
Rosni berkata, dia tidak berkemampuan menanggung semua kos rawatan dan pengangkutan rawatan anak yang begitu tinggi memandangkan pendapatannya sebagai buruh kasar RM500 hingga RM700 sahaja tidak mencukupi.
“Anak bongsu saya masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala anak ke empat saya pula mendapatkan rawatan kemoterapi yang lebih intensif di Hospital Pulau Pinang setiap minggu.
“Semua kos termasuk kos rawatan untuk anak bongsu saya terpaksa ditanggung sendiri manakala kos Nur Ain Sakinah adalah percuma kerana menggunakan surat persekolahan, tetapi kos pengangkutan sebanyak RM400 sebulan terpaksa saya sediakan.
“Saya bingung memikirkan kos rawatan anak di Kuala Lumpur yang tertunggak kira-kira RM2,500 memandangkan sejak tahun ini saya tidak dapat melakukan kerja kerana sering membawa anak-anak mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Rosni berkata, anak bongsunya memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang sebanyak RM150 tetapi bantuan itu tidak mencukupi.
Dia turut juga memohon bantuan untuk seorang lagi anaknya itu namun sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas.
“Saya juga memohon bantuan kepada pejabat zakat dan wakil rakyat melalui pemimpin kampung ini tetapi tidak berjaya menyebabkan saya buntu memikirkan kepada pihak mana lagi masalah ini perlu dirujuk.
“Masalah kewangan yang dihadapi ini menyebabkan saya terpaksa berhutang dengan rakan dan saudara mara,” katanya.
Sementara itu, Faridah berkata dia bimbang melihat keadaan dua anaknya itu ketika diserang penyakit terbabit badan mereka akan menjadi lemah sehingga tidak boleh berjalan, gusi berdarah dan badan lebam.
Kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbangnya melalui akaun Agro Bank menerusi nombor 200902314006 atas nama Faridah Abdul Rahman.