‘Termakbul juga hajat saya’ – Metro


‘Termakbul juga hajat saya’

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Ahmad Saufi Mansor dan Mohamad Hussin

Alor Setar: “Saya seronok dapat berjumpa dan bergambar dengan Perdana Menteri. Termakbul juga hajat saya selama ini,” kata Akhirul Abdul Rahim, 9, yang terharu apabila berpeluang menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Majlis Himpunan Orang Muda di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini, semalam.

Akhirul yang mengalami masalah urat saraf sehingga menyebabkannya sukar berjalan berkata, setiap kali melihat wajah Perdana Menteri di akhbar atau televisyen, dia bersemangat dan menyatakan hasrat menemui sendiri pemimpin nombor satu negara itu.
Menurutnya, dia lega kerana hasrat menemui Perdana Menteri akhirnya termakbul selepas beberapa tahun memendam hasrat berkenaan.

 

Hasrat Akhirul itu tercapai dengan bantuan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datin Nor Sabrina Mohd Nor ketika dikunjungi sempena Program Ziarah Orang Orang Muda (Zoom) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim, baru-baru ini.
Ibunya, Rozita Ahmad, 44, yang juga peniaga gerai makanan berkata, Akhirul memang berhasrat mahu berjumpa Perdana Menteri sehingga setiap kali ada program besar dianjurkan, pasti dia bertanya sama ada pemimpin nombor satu itu turut hadir.
“Apabila Akhirul mendapat tahu Perdana Menteri akan datang ke Kedah, dia sangat suka dan tidak sabar untuk berjumpa secara dekat.

 

“Boleh dikatakan setiap hari dia bertanya bila boleh jumpa Perdana Menteri, bila Datuk (Seri) Najib nak datang. Petang ini (semalam) hajat anak saya dimakbulkan “Saya terharu dan bersyukur kerana permintaan anak saya dapat ditunaikan. Kami bergerak dari Kulim ke Alor Setar kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) dan sampai kira-kira jam 3 petang,” katanya.
Rozita berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu sering menjadikan Perdana Menteri sebagai idolanya kerana beliau sangat prihatin dan menjaga kebajikan rakyat.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

KPM Boleh Contohi KPT Tangani Masalah Lambakan Tugas Guru – Puteri Johor – mStar


KPM Boleh Contohi KPT Tangani Masalah Lambakan Tugas Guru – Puteri Johor

Oleh IZRA ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mungkin boleh mencontohi pentadbiran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) awam dalam usaha menangani lambakan tugas guru.

Usul tersebut diutarakan Ketua Puteri Umno Bahagian Ayer Hitam, Nuriyati Md Ithnin (Johor) yang melihat perubahan semasa menuntut golongan pendidik meningkatkan daya usaha serta mempunyai komitmen yang jauh lebih tinggi.

Katanya, guru secara tradisi mempunyai tugas mengajar dan mendidik berdasarkan sukatan pelajaran yang ditetapkan bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.

“Namun kini guru telah dibebankan dengan tugas-tugas yang tiada kaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Kementerian Pelajaran mungkin boleh melihat contoh pentadbiran KPT awam yang mengasingkan unit ko-kurikulum dan hal ehwal pelajaran dengan pengajian iaitu kurikulum. Perjawatan tersebut disandang oleh penjawat awam bukan guru,” katanya ketika membahaskan usul di Perhimpunan Agung Umno 2012, dekat sini, Rabu.

Nuriyati berkata, sekiranya mewujudkan perjawatan menjadi beban kepada kerajaan, guru sedia ada yang melakukan tugas sampingan ini dicadangkan diberi elaun tambahan.

Katanya, guru yang menjadi jurulatih sukan, terlibat dengan persatuan, kelab dan badan beruniform antara contoh guru yang boleh dipertimbangkan untuk elaun yang dicadangkan.

Beliau menegaskan, tindakan itu adalah wajar kerana guru sebenarnya bukan hanya mengajar di dalam kelas tetapi juga menjalankan aktiviti di luar sekolah seperti berkhemah yang memakan masa lebih daripada sehari dan dilakukan pada bukan pada hari bekerja.

Dalam pada itu, beliau turut menyaran agar pengurusan sekolah lebih peka terhadap pengagihan tugas guru.

“Jangan mendesak dan menekan guru-guru dengan meminta laporan-laporan ko-kurikulum, hal ehwal murid dan sebagainya.

“Pendekatan yang lebih fleksibel dan mesra kerja perlu diamalkan agar guru-guru tidak berasa stress dan hilang kepuasan bekerja,” katanya.

Usul lain yang dibentang termasuk mencadangkan kepada KPM supaya memperkasa sukatan pelajaran pendidikan teknik dan vokasional.

“Hal ini berbeza dengan negara maju yang melaksanakan 70-80 peratus sukatan vokasional dan 30-20 peratus sukatan akademik,” katanya sambil membuat perbandingan dengan negara ini yang menjalankan 55 peratus sukatan vokasional dan 45 peratus sukatan akademik.

Puteri UMNO rai murid sekolah Cina – Bernama


Puteri UMNO rai murid sekolah Cina

30/01/2012 4:30pm

 

CHANGLUN30 Jan. – Pergerakan Puteri UMNO Kubang Pasu hari ini meraikan 240 murid dan 20 guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Yit Min di sini dalam satu majlis sambutan Tahun Baru Cina.

Ketuanya, Wan Zawiyah Wan Halim bersama ahli pergerakan itu menyediakan makanan, buah limau dan angpau kepada semua murid darjah satu hingga enam serta guru dalam satu acara sambutan ringkas namun meriah.

Kehadiran ibu bapa murid-murid memeriahkan lagi sambutan yang bermula 11.30 pagi dan berakhir 1 tengah hari.

Wan Zawiyah berkata, sambutan itu bertujuan menyemai dan menyuburkan konsep 1Malaysia dalam kalangan murid-murid sekolah agar perpaduan sesama mereka menjadi lebih utuh.

“Puteri UMNO akan terus menganjurkan program seumpama ini pada setiap perayaan kaum untuk mengeratkan hubungan kaum agar negara akan lebih makmur dan aman,” katanya.

Guru Besar SRJK (C) Yit Min, Ting Ah Tin, pula berkata, beliau dan guru-guru sekolah itu menyokong penuh sebarang program yang bertujuan baik selaras dengan konsep 1Malaysia.

Sekolah itu juga mempunyai 60 murid berbangsa Melayu, 50 berbangsa Siam, dua orang bangsa India dan seorang Iban. — BERNAMA