Dua murid ditahan kebas duit tabung masjid – Sinar Harian


Dua murid ditahan kebas duit tabung masjid

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Oktober 2012
Dua murid ditahan kebas duit tabung masjid
“Bawah umur bukanlah alasan untuk pelajar sekolah untuk melanggar undang-undang sewenangnya. ” Ghuzlan

KULIM – Gara-gara ghairah berbelanja mewah, dua murid lelaki berusia di antara 10 dan 11 tahun ditahan orang awam kerana mencuri duit dari tabung masjid.

Suspek sebelum ini pernah terlibat dalam beberapa kes kecurian antaranya mencuri telefon bimbit.

Memandangkan suspek masih di bawah umur, polis mengambil tindakan menghubungi kedua ibu bapa mereka untuk berbincang mengenai masalah sosial dihadapi anak mereka dan membayar ganti rugi kepada masjid.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata, masalah jenayah hari ini semakin serius apabila ia membabitkan pelajar bawah umur.

Menurutnya, ada dalam kalangan mereka yang ditahan kerana terlibat dalam kes mencuri motosikal, kereta, ragut dan penagihan dadah.

Beliau tidak menafikan perlakuan jenayah dan masalah sosial dalam kalangan remaja bawah umur bermula dari pergaulan bebas tanpa pemantauan keluarga terutama ibu bapa.

Ghuzlan berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya laporan polis dibuat.

“Bawah umur bukanlah alasan untuk pelajar sekolah untuk melanggar undang-undang sewenangnya. Sekiranya mereka ditangkap dan laporan polis dibuat, polis akan memastikan mereka yang terlibat di dakwa di mahkamah.

“Saya meminta ibu bapa supaya bersikap peka terhadap anak-anak dan jangan sesekali terlepas pandang terhadap pergerakan mereka sekiranya anak berhadapan dengan masalah sosial dan perlakuan jenayah. Ingat, undang-undang tidak mengenal usia,” katanya.

Lapan termasuk 3 remaja ditahan kes samun, ragut – Harian Metro


Lapan termasuk 3 remaja ditahan kes samun, ragut

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG JAYA: Sepanjang minggu lalu, lapan suspek berhubung kes samun dan ragut termasuk tiga remaja belasan tahun ditahan polis kerana terbabit tiga kes berasingan di daerah ini, termasuk seorang daripada remaja itu menyamar polis bagi menyamun mangsa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata semua suspek yang diberkas berusia 16 hingga 40 tahun dan seorang daripada suspek pembeli barangan curi.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang Rabu lalu, dua remaja berusia 16 tahun dan masih bersekolah ditahan selepas meragut seorang wanita yang berjalan berseorangan di SS17/1E, di sini.

 

“Remaja terbabit menaiki skuter menghampiri wanita itu dari depan dan sebaik berselisih seorang daripadanya menyambar rantai leher hingga menyebabkan mangsa terjatuh serta luka dan terseliuh siku kiri.
“Hasil maklumat awam, kami menjejaki suspek dan menahan mereka. Bagaimanapun, rantai leher yang diragut sudah dijual dan siasatan susulan polis memberkas seorang lelaki berusia 33 tahun bersama rantai berkenaan dipercayai pembeli barangan curi itu,” katanya selepas majlis penyampaian sijil penghargaan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah kepada beberapa individu yang mematahkan kes ragut.
Zainal Rashid berkata, dalam kejadian berasingan kira-kira jam 6.45 petang Khamis lalu, dua lelaki bermotosikal diberkas selepas meragut beg tangan seorang remaja perempuan di SS15/4D.

 

 

“Suspek berusia 33 dan 40 tahun, seorang daripadanya dicekup selepas dikejar dan bergelut dengan empat pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyaksikan kejadian itu, manakala seorang lagi melarikan diri, namun ditahan dalam operasi susulan.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah, manakala barangan yang diragut diperoleh kembali,” katanya.

 

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian, tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang menyamar polis dengan melakukan pemeriksaan jalanan terhadap mangsa ditahan di Bukit Puchong kira-kira jam 3 pagi, kelmarin.
Katanya, semua lapan suspek kini direman dan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana samun dan ragut, serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam.