Murid dicabul guru lebih setahun lalu – Metro


Murid dicabul guru lebih setahun lalu
KUALA LUMPUR: Rahsia kemurungan seorang murid perempuan berusia sembilan tahun terjawab apabila dia mendakwa dicabul guru lelaki sekolah itu sejak lebih setahun lalu.

Perbuatan itu terbongkar jam 5 petang Khamis lalu, apabila mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya berusia lewat 30-an sebelum membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini.
Menurut sumber, mangsa mendakwa dicabul guru lelaki berusia 30-an itu sejak darjah dua.

“Guru lelaki itu dilaporkan memanggil mangsa datang dekat dengannya sebelum memegang alat sulitnya,” katanya.
Sumber berkata, mangsa tidak berani menceritakan kejadian itu kepada sesiapa, termasuk keluarganya, kerana bimbang dimarahi guru terbabit.
“Sejak itu, mangsa dilaporkan sering murung dan takut pergi ke sekolah. “Namun tak tahan diperlakukan demikian, mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya.

“Terkejut dengan pengakuan itu, ibu mangsa bergegas ke sekolah untuk mengadu kepada guru besar. Selepas siasatan dilakukan pihak pengurusan sekolah, guru terbabit mengakui melakukan perkara keji itu,” katanya.
Mangsa kemudian tampil membuat laporan di balai polis untuk tindakan lanjut.

Jiran paksa teguk arak sebelum noda – Metro


Jiran paksa teguk arak sebelum noda
KANGAR: Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun menempuh detik hitam apabila dipaksa meneguk minuman keras sehingga mabuk sebelum dirogol jirannya, seorang pelajar tingkatan empat, di sini, awal bulan lalu.

Sebelum kejadian antara jam 12.30 tengah hari hingga 10 malam itu, mangsa yang berjiran dengan suspek berusia 16 tahun di Flet Seri Sena, di sini, dibawa bersiar-siar ke satu lokasi rahsia pada petang 4 Julai lalu, sebelum gadis terbabit yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah, di sini, dirogol.
Selepas dipaksa, mangsa yang ketakutan terpaksa akur dengan arahan suspek kerana diugut untuk dicederakan, sebelum dirogol remaja lelaki itu ketika berada dalam keadaan khayal.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika dihubungi, mengesahkan kes itu, termasuk laporan polis dibuat keluarga mangsa berhubung kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/21

Penjawat awam diminta lindungi rahsia kerajaan – Bernama


Penjawat awam diminta lindungi rahsia kerajaan

20 Julai 2012
KOTA KINABALU – Penjawat awam di negara ini diminta agar lebih peka dengan rahsia kerajaan dan tidak mendedahkannya kepada umum.

Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Datuk Johari Jamaluddin berkata masih terdapat kelemahan pada aspek tersebut yang menyebabkan ada rahsia kerajaan tersebar dalam khalayak ramai.

“Kita memerlukan kerjasama daripada semua pihak kakitangan dan bukan hanya bergantung kepada seorang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Taklimat Keselamatan: Perlindungan Tanggungjawab Bersama, di Likas dekat sini hari ini.

Katanya perkara itu akan dijadikan agenda utama dalam setiap mesyuarat bagi memastikan isi perbincangan dan mesyuarat kekal dirahsiakan.

Beliau juga berkata penjawat awam harus didedahkan kepada akta berkaitan keselamatan bagi meningkatkan kefahaman mereka dalam usaha melindungi rahsia kerajaan.

Taklimat itu dihadiri lebih 500 penjawat awam di Sabah yang turut disertai Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Abu Bakar Hassan. – Bernama