Pekeliling baru penjawat awam ke luar negara hanya penambahbaikan biasa – Bernama


Pekeliling baru penjawat awam ke luar negara hanya penambahbaikan biasa

14 Oktober 2012
Datuk Seri Dr Ali Hamsa
Datuk Seri Dr Ali Hamsa

KUALA LUMPUR – Pekeliling baru mengenai Peraturan Perjalanan Pegawai Awam Ke Luar Negara Atas Urusan Persendirian yang berkuat kuasa 1 Okt lepas hanya proses biasa untuk menambah baik sistem perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata ia hanya proses biasa berikutan kenaikan gaji perkhidmatan awam, serta pertambahan pegawai kerajaan ke luar negara secara persendirian.

“Jadi, kita hanya perlu mengawasi dan menegur sistem itu bagi menambah baik pekeliling itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program gotong-royong Penjaja 1Malaysia di Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, hari ini bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman yang mempersoal mengenai peraturan itu dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

Ali berkata beliau akan memperjelas berhubung peraturan baru itu kepada Cuepacs pada pertemuannya dengan mereka dalam masa terdekat.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam yang ke luar negara atas urusan persendirian supaya memastikan semua perbelanjaan mereka adalah dari simpanan sendiri.

Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2012 yang baru itu menetapkan semua pegawai awam yang ingin ke luar negara atas tujuan persendirian perlu mendapatkan kelulusan pegawai tinggi mengikut jawatan dan kategori pegawai.

Ia, yang ditandatangani Ali, menggantikan Surat Pekeliling Am bertarikh 1 Mac 1984 dan 11 Jun 1986. – Bernama

Anak hilang cermin mata tak pulang rumah – Metro


Anak hilang cermin mata tak pulang rumah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Teguran seorang bapa terhadap anaknya kerana menghilangkan cermin mata di sekolah menyebabkan murid yang berusia 11 tahun tidak pulang ke rumah sejak lima hari lalu selepas ke sekolah, pada 19 Januari lalu.

Muhammad Faiz Nasrullah Faizal Naim, murid tahun lima Sekolah Rendah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, di sini, dipercayai menghilangkan diri selepas tamat waktu persekolahan, jam 2 petang.
Bapanya, Faizal Naim Ahmad, 35, berkata dia memarahi anaknya kerana cuai meletakkan cermin mata yang baru dibeli di merata tempat sehingga hilang sebelum meminta anaknya mencari cermin mata itu sehingga jumpa jika tidak mahu dirotan.

 

Faizal Naim berkata, anaknya tidak menunjukkan reaksi seperti merajuk atau takut.
“Malah, ketika saya menghantarnya ke sekolah pagi hari kejadian, saya dan isteri sedikit pun tidak menyangka yang dia akan lari kerana ketika itu dia berpakaian sekolah dan bersalaman dengan saya seperti biasa.
“Saya dimaklumkan pemandu van sekolah yang anak saya tidak hadir ke sekolah agama pada sesi petang dan ia semakin merisaukan kerana anak saya hilang sejak tengah hari,” katanya. Faizal Naim yang juga kakitangan kerajaan berkata, anak lelaki sulung daripada lima beradik itu turut mengalami masalah alahan yang serius terhadap kacang parang dan kacang hijau serta memerlukan rawatan jika didapati terkena alahan.

 

 

Faizal Naim merayu orang ramai yang terserempak atau mengetahui di mana anaknya, menghubunginya di talian 019-3953797 atau menghantar anak ke balai polis berdekatan.

Mati tertiarap di kantin sekolah – Metro


Mati tertiarap di kantin sekolah

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Tangannya diikat manakala mulutnya disumbat kain sebelum kepala, dada serta bahagian belakang badan ditetak menggunakan senjata tajam. Tetapi, barangan yang dilarikan hanya sebuah telefon bimbit.

Itulah nasib yang menimpa seorang pengawal keselamatan yang lumpuh pada bahagian tangan selepas dia ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di kantin Sekolah Menegah Kebangsaan Raja Muda Musa, dekat Bestari Jaya, semalam.
Mangsa berusia 41 tahun itu ditemui tertiarap kira-kira jam 3.50 pagi oleh rakan sekerjanya di kantin sekolah berkenaan yang terletak kira-kira 50 meter dari pondok pengawal.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, sebelum kejadian, mangsa dan rakan sekerjanya mendengar bunyi salakan anjing di belakang sekolah berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan kira-kira jam 3.40 pagi.
Katanya, mangsa mengarahkan rakannya untuk berpecah dan memeriksa blok berlainan sementara dia memeriksa di belakang sekolah berkenaan.
“Selepas pemeriksaan dijalankan dan mendapati keadaan terkawal, rakan mangsa pulang semula ke pondok pengawal, namun selepas beberapa minit menunggu, mangsa masih tidak pulang ke pondok berkenaan.

 

 

“Curiga mangsa masih tidak pulang, rakannya meninjau kawasan sekitar sekolah sebelum menjumpai mangsa dalam keadaan tertiarap dengan tangan diikat dan mulut disumbat kain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, petang semalam.
Mohd Adnan berkata, hasil siasatan polis mendapati mangsa mati akibat cedera di bahagian kepala, dada dan belakang badan dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam. Namun, polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.

 

Beliau berkata, pembunuhan kejam itu dipercayai bermotifkan samun kerana hasil siasatan awal mendapati telefon bimbit mangsa dilarikan suspek selepas membunuhnya. Menurutnya, siasatan awal polis di sekitar kawasan sekolah tidak menjumpai sebarang kesan pecah masuk, namun siasatan lanjut akan dijalankan memandangkan sekolah bercuti pada hari kejadian. “Polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga rakan sekerja mangsa kerana kenyataan yang diberikan kepada pihak polis tidak konsisten dan meragukan manakala dia ditahan reman mulai esok (hari ini) untuk siasatan lanjut. “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat,” katanya.