Dua beradik kembar, rakan sebaya lemas – Utusan


Dua beradik kembar, rakan sebaya lemas

ARAU 9 Sept. – Dua beradik kembar berusia lapan tahun bersama seorang lagi rakan sebaya mereka mati lemas selepas terjatuh di sebatang terusan di Kampung Banat di sini, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiganya, pasangan kembar Abdul Hakim dan Abdul Hakam Zulkifli serta Mohd. Akmal Abdul Razak bermain di terusan tersebut pukul 5.15 petang.

Ia disedari oleh seorang penduduk kampung yang melalui kawasan tersebut selepas ternampak hanya kasut dan basikal kanak-kanak itu tanpa kelibat mereka.

Selepas mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku, penduduk berkenaan turun ke dalam terusan tersebut dan mendapati mayat ketiga-tiga kanak-kanak itu dalam keadaan berpelukan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Nadzri Hussain ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Mayat ketiga-tiga kanak-kanak tersebut dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan akan dikebumikan pagi esok.