Rakan sekolah hadiah sebutir peluru hidup – Metro


Rakan sekolah hadiah sebutir peluru hidup

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG JAYA: Seorang wanita berusia 37 tahun terkejut apabila anak lelakinya berusia 10 tahun menunjukkan sebutir peluru hidup yang ‘dihadiahkan’ rakan sekolahnya ketika sesi persekolahan di sebuah sekolah di Subang Jaya, di sini, kelmarin.

Wanita berkenaan menyedari kejadian itu apabila anaknya yang pulang ke rumah mereka di USJ di sini, menunjukkan peluru berkenaan, jam 12.30 tengah hari.
Wanita itu merampas peluru berkenaan sebelum bergegas ke Balai Polis USJ 8, di sini, membuat laporan penemuan peluru itu.

 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah merampas peluru berkenaan daripada kanak-kanak itu termasuk rakannya yang menemui peluru berkenaan.
Menurutnya, rakan kanak-kanak itu menemui beberapa peluru di rumahnya sebelum menghadiahkan kepada anak wanita berkenaan.
Katanya, hasil siasatan mendapati wanita berkenaan baru berpindah ke rumah itu yang sebelum ini dihuni seorang anggota polis yang sakit.

 

 

“Ketika mengosongkan rumah berkenaan untuk berpindah, anggota terbabit tertinggal peluru hidup itu sebelum ditemui kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Rasa dada terbakar – Metro


Rasa dada terbakar

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TRAUMA...Syazwan kini takut meneguk minuman daripada botol.
TRAUMA…Syazwan kini takut meneguk minuman daripada botol.

KANGAR: “Dada saya seperti dibakar, malah hampir keseluruhan mulut serta tekak tiba-tiba menjadi panas kerana terminum cecair berkenaan,” kata Mohd Syazwan Abdul Rohim,17, selepas terminum pencair cat yang disangka air minuman ringan.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 malam Isnin lalu, apabila Mohd Syazwan yang dahaga sebaik pulang dari bengkel sekolahnya di Arau di sini, mencapai satu botol di atas katilnya yang disangka minuman ringan lalu minum sebelum dadanya berasa panas.

Mohd Syazwan berkata, dia meneguk cecair berkenaan dua kali sebelum dada serta mulutnya tiba-tiba terasa panas dan sakit sehingga menyebabkannya berada dalam keadaan separuh sedar.

Menurutnya, ketika itu dia berasa begitu haus sebelum menyedari minuman yang diteguk itu adalah pencair cat.

 
“Dada saya terus terasa panas manakala mulut serta tekak berasa seperti terbakar akibat kesan cecair berkenaan sehingga saya menggelupur kesakitan.

“Saya cuba menjerit meminta pertolongan rakan, namun gagal kerana sukar bertutur akibat kesakitan.

“Nasib baik ada rakan ternampak lalu meminta bantuan dan saya ke rumah warden asrama sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di HTF di sini, semalam.

15 dibelasah – Metro


15 dibelasah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Seramai 15 pelajar sebuah sekolah di sini, dibelasah beramai-ramai lebih 30 pelajar lain menggunakan batang penyapu dan topi keledar hingga cedera selepas mangsa didakwa mengejek pelajar senior.

Dalam kejadian jam 10 pagi Rabu lalu, sekumpulan murid tingkatan empat dan lima sebuah sekolah menengah di sini, dilaporkan bertindak ganas menyerang sekumpulan murid tingkatan tiga.
Pergaduhan antara ‘geng senior’ dan ‘geng junior’ itu berlaku apabila seorang daripada pelajar tingkatan lima sekolah sama tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pelajar tingkatan tiga a mencaci sebelum pergaduhan tercetus.

 

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Leong, 15, berkata, kejadian berlaku di dalam kawasan sekolah apabila mereka dikepung kumpulan pelajar tingkatan empat dan lima itu.
Menurutnya, mereka dipukul beramai-ramai menggunakan batang penyapu selain ditumbuk dan ditendang berulang kali.
“Kami cuba melawan, namun bilangan mereka terlalu ramai. Mereka turut mendapat bantuan rakan di luar sekolah untuk memukul kami,” katanya.

13 buku latihan satu subjek – Sinar Harian


13 buku latihan satu subjek

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2012
13 buku latihan satu subjek

BAGAN DALAM – Nak mengajar atau menghukum, itu dua persoalan yang sering bermain di fikiran Abdul Jamil Othman, 52, selepas mendapati anak bongsunya terpaksa menggunakan 13 buku untuk menyiapkan latihan mata pelajaran Matematik yang diberi guru sepanjang tahun lalu.

Biarpun terpaksa bersengkang mata hingga lewat malam menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru, anaknya Mardhiah Safwan, 12, murid tahun enam sebuah sekolah rendah di sini tidak pernah memperoleh markah tinggi.

“Saya hairan kerana latihan yang diberikan guru terbabit seolah-olah ingin mendera anak saya, bukan menurunkan ilmu untuk mengajar dan menjadikannya cerdik.

“Mungkin lepas ini anak saya boleh mencatat nama sebagai murid yang paling banyak menggunakan buku untuk menyiapkan latihan mata pelajaran Matematiknya itu,” katanya.

Abdul Jamil yang tinggal di Rumah Pangsa Bagan Dalam di sini, berkata, sepatutnya jika anaknya itu sering membuat latihan dia akan menjadi cekap dalam mata pelajaran terbabit tetapi keadaan menjadi sebaliknya.

“Saya tak tahu apa motif sebenar guru itu memberikan latihan yang begitu banyak kepada anak saya kerana sepanjang pengetahuan, rakan sekelasnya tidak pula diarah berbuat demikian.

“Sepanjang tahun lalu anak saya terpaksa menggunakan 13 buku latihan hanya untuk mata pelajaran Matematik sahaja,” katanya.

Abdul Jamil berkata, dia tidak kisah menyediakan buku sebanyak itu demi pelajaran anaknya, tetapi dalam masa sama timbul kehairanan apakah motif sebenar guru mata pelajaran itu bertindak sedemikian.

“Saya berharap untuk sesi persekolahan tahun ini anak saya diberi pendidikan sama seperti rakannya yang lain dan tidak diarah melakukan perkara berbeza hingga menimbulkan tanda tanya dan tidak boleh diterima akal,” katanya.

Pelajar hilang dipercayai dilarikan kawan – Berita Harian


Pelajar hilang dipercayai dilarikan kawan

2012/01/16

pix_gal0

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu dilaporkan hilang hampir tiga minggu lalu dipercayai dilarikan rakan perempuan yang baru dikenalinya di sebuah siber kafe di Jalan Ipoh, di sini.

Norish Aunie Niesa Mohd Nizam, 13, dilaporkan keluar rumah pada 29 Disember tahun lalu untuk ke kafe siber bersama adik lelakinya sebelum didatangi rakan yang dikenali sebagai Ija dan beberapa lelaki lain sebelum mereka menghilangkan diri.

Ibu mangsa, Nor Salinda Salleh, 33, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu sehingga kini gagal dikesan dan percaya rakan perempuan yang baru dikenali anaknya menjadi dalang utama kehilangan Norish Aunie.

“Lebih mengejutkan, pada hari kehilangan Norish Aunie, rakan karib saya menerima panggilan daripada seorang perempuan yang memperkenalkan diri sebagai Ija, namun menggunakan nombor telefon Norish Aunie yang memaklumkan beliau membawa keluar anak saya untuk menyambut tahun baru di ibu negara.

“Ketika kawan saya meminta untuk bercakap dengan Norish Aunie sendiri, perempuan berkenaan tidak membenarkan dengan alasan takut dimarahi sebelum memutuskan talian.

“Hati saya kuat mengatakan ada sesuatu perkara buruk berlaku kerana selama ini Norish Aunie tidak pernah keluar bersama rakannya,” katanya.