Ramai mahu PPSMI diteruskan – Dr. Mahathir – Utusan


Ramai mahu PPSMI diteruskan – Dr. Mahathir

 

Oleh FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

 

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat kerajaan berhubung peralihan pembelajaran subjek Sains dan Matematik daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, pihak-pihak tertentu yang masih mempertahankan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) perlu berhenti berbuat demikian kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak terutamanya pelajar.

” Saya terkilan kerana masih ada kumpulan- kumpulan yang mempertikaikan langkah ini termasuklah akhbar berbahasa Inggeris.

“Ini kerana langkah memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris merupakan keputusan tepat. Kita tidak mahu selepas 13 tahun belajar, pelajar kita tidak tahu berbahasa Inggeris malahan ilmu sains dan matematik juga tidak diserap dengan baik,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan pembelajaran kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Melayu adalah tepat.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, tindakan pihak berkenaan yang mahu membuat pungutan suara sebagai “tidak manis” kerana kerajaan telah membuat kajian teliti sebelum keputusan itu diambil.

“Mereka ini mahu melaga-lagakan serta berniat memecah belah rakyat dan mempertikai keputusan tersebut walaupun sudah dibuat sesi meja bulat dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak.

“Mereka perlu sedar, sekolah kebangsaan di negara-negara maju di dunia seperti Jepun, Korea dan Jerman tidak pernah memberi pilihan kepada pelajar untuk memilih bahasa yang perlu digunakan dalam pembelajaran dan hasilnya tetap membanggakan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha 1, Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, keputusan itu akan memberi ruang kepada semua pelajar pelbagai kawasan menguasai kedua-dua subjek berkenaan dengan lebih baik.

“Sebelum ini, hanya segelintir sahaja pelajar yang mendapat kesan positif iaitu mereka yang belajar di sekolah-sekolah kawasan bandar.

“Gapena melihat langkah ini sebagai pendemokrasian sistem pendidikan kita.

” Lagipun, seperti yang didedahkan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, hanya empat peratus sahaja pelajar yang mendapat manfaat daripada perlaksanaan PPSMI,” katanya.