Bapa mengaku tidak bersalah kurung dua anak – Bernama


Bapa mengaku tidak bersalah kurung dua anak

04/01/2012 2:13pm

 

BUTTERWORTH 4 Jan. – Seorang bapa mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap tuduhan mengurung dua orang anaknya berusia enam dan dua tahun di dalam bilik air yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Majistret Mohd. Zamir Suhaimee bagaimanapun membenarkan tertuduh, Tan Hooi Keong, 43, diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap anak perempuannya, Tan Ming Zhi, 6, dengan merantai kaki mangsa dengan rantai besi dan mengurungnya di dalam bilik air pada 28 Disember 2011, antara pukul 3 petang dan 8 malam.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap anak lelakinya, Tan Ming Han, 2, dengan merantai kaki mangsa dengan rantai besi dan mengurungnya di dalam bilik air pada tarikh dan masa yang sama.

Tertuduh yang bekerja sendiri, didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di rumah nombor 21, Jalan Mawar, Taman Dahlia, Butterworth dekat sini.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun atau denda tidak kurang RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Bapa rantai dua anak dalam tandas – Berita Harian


Bapa rantai dua anak dalam tandas

2011/12/29

BUTTERWORTH: Dua beradik diperlakukan seperti haiwan oleh bapa sendiri yang tergamak mengikat kaki mereka dengan rantai besi, mengurung mereka dalam tandas selama lebih lima jam dan membiarkan mereka kelaparan.

Dalam kejadian di rumah mereka di Taman Mawar, Raja Uda, di sini, semalam, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an mengikat kaki kiri anak perempuannya berusia enam tahun serta anak lelakinya berusia dua tahun ketika hendak keluar bekerja kira-kira jam 3 petang.

Suspek yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran dikatakan bertindak demikian kerana mendakwa anaknya nakal dan tiada siapa hendak menjaga mereka ketika dia keluar bekerja.

Suspek dikatakan sudah berpisah dengan isterinya yang dipercayai warga Thailand yang bertindak keluar rumah sejak sebulan lalu.

Ketika diselamatkan kira-kira jam 8.40 malam, dua beradik itu yang hanya berbaju dan berseluar dalam, berada dalam keadaan amat menyedihkan.

Suspek yang pulang ketika dua kanak-kanak itu diselamatkan, ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias, berkata kejadian itu disedari jiran yang terdengar jeritan kanak-kanak terbabit meminta tolong supaya dilepaskan.
“Jiran terbabit terus menghubungipolis kira-kira jam 8 malam dan sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian bersama-sama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyelamatkan dua beradik itu,” katanya.