Puad: Dua sekolah masih ditutup akibat banjir – Bernama


Puad: Dua sekolah masih ditutup akibat banjir

3 Januari 2013
Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

HULU TERENGGANU – Dua sekolah, masing-masing satu di Kelantan dan Terengganu masih ditutup akibat banjir, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Dua sekolah yang masih ditenggelami air itu ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah di Rantau Panjang, Kelantan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut, Setiu di Terengganu.

Beliau berkata sehingga kini hanya sebuah sekolah di Kelantan yang masih dijadikan pusat pemindahan banjir iaitu SK Bukit Awang.

“Bagaimanapun, SK Bukit Awang tetap meneruskan sesi persekolahan seperti biasa kerana hanya terdapat 15 mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah itu,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan hari pertama sesi persekolahan 2013 di SK Tengku Ampuan Intan di sini hari ini.

SK Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Agama Mahmudiah dan SK Bukit Tadok di Hulu Terengganu adalah antara sekolah yang baru memulakan penggal persekolahan baru hari ini setelah ditutup dua hari akibat banjir.- Bernama

Bekas guru seludup mercun, rokok – Sinar Harian


Bekas guru seludup mercun, rokok

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
Bekas guru seludup mercun, rokok
Sebanyak 15 bungkusan mercun bola dirampas daripada suspek.

GERIK – Seorang bekas guru sanggup memandu kereta sejauh kira-kira 300 kilometer menyeludup 15 bungkus mercun bola dan 90 karton rokok untuk dijual di pasar malam di Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Bachok, Kelantan itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 4.2, Jalan Gerik-Kupang dekat sini pada jam 8.45 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, suspek menyumbat penuh but keretanya dengan mercun bola yang dibungkus plastik hitam supaya tidak mudah dikesan pihak berkuasa.

“Suspek ditahan dalam operasi mencegah kegiatan menyalahi undang-undang dan anggota kami mudah mengesan kesalahan lelaki itu kerana tidak membungkus kotak rokok dalam kereta.

“Pemeriksaan di but belakang keretanya pula mendapati sejumlah 15 bungkusan mercun bila pula disimpan. Hasil rampasan bernilai lebih RM5,000,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan membawa rokok seludup yang diambil melalui Rantau Panjang, Kelantan manakala, mercun bola pula diambil dari Kota Bharu.

“Suspek menjual rokok berkenaan dengan harga RM30 se-karton dan sebungkus mercun bola dijual dengan harga RM25 sebungkus berikutan ada permintaan tinggi di sana.

“Suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini dan akan dikenakan dua tuduhan kes,” katanya.

Abdul Manab berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 bagi kes mercun dan kes rokok pula di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang-barang belum cukai.

Dirogol dua kali dalam tempoh 11 jam – Sinar Harian


Dirogol dua kali dalam tempoh 11 jam

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2012
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria

BESUT – Akibat terpengaruh dengan pujuk rayu teman lelaki menyebabkan seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di daerah ini menjadi mangsa rogol sebanyak dua kali dalam tempoh kira-kira 11 jam dalam sebuah kereta.

Sebelum kejadian pada jam 8.30 malam, Selasa lalu, ketika pelajar berumur 16 tahun itu berada di rumah dia diajak keluar oleh seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan Mat Sebu.

Difahamkan, mangsa bersiar-siar di sekitar daerah ini dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam namun dia tidak mengingati nombor pendaftaran kereta tersebut.

Setiba di suatu kawasan di Kuala Besut, suspek memberhentikan kereta dan mereka berbual di dalam kereta tersebut.

Peluang itu dikatakan diambil oleh suspek untuk merogol mangsa di dalam motokar dan selepas merogol mangsa, suspek membawa mangsa ke rumah kawannya di Rantau Panjang, Kelantan.

Keesokannya, pada jam 7 pagi (Rabu), suspek telah membawa pelajar berkenaan ke sebuah rumah yang didakwa suspek rumah kakaknya di Kuala Besut.

Namun, dia sekali lagi dirogol oleh suspek di dalam kereta yang sama di kawasan itu sebelum suspek bertindak menghantar pulang ke rumah kakaknya di sebuah taman di Kuala Besut.

Keluarga mangsa yang mendapati mangsa tidak pulang pada hari tersebut mendesak dia menceritakan apa yang berlaku dan kemudian mendesaknya membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Besut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, kejadian rogol akibat pergau-lan bebas di daerah ini meningkat di daerah ini dan perkara ini perlu diatasi dengan sikap kecaknaan semua pihak termasuk mangsa.

“Remaja pada hari ini dinasihatkan jangan terlalu percaya pujukan lelaki walau dalam apa bentuk sekali pun dan ibu bapa berperanan mencegah kejadian ini berlaku dengan kawa-lan ketat,” katanya.