Berkat kesungguhan – Metro


Berkat kesungguhan

 15  0 Google +0  0  0

Oleh Jauhariatul Akmal Johar

Rantau Panjang: “Hanya kesungguhan yang dapat membantu mencapai keputusan cemerlang. Saya sering menghafal pelajaran pada waktu pagi manakala ulang kaji subjek Matematik dan Matematik Tambahan dilakukan pada waktu petang,” kata Siti Syamimi Ramli, 18, selepas mendapat keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan, semalam.

Anak kepada pasangan peniaga itu mendapat keputusan A+ dalam subjek Matematik dan Matematik Tambahan manakala A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun, Kimia dan Biologi serta A- dalam subjek Fizik. Katanya, dia bersyukur kerana dapat mengulangi kejayaan selepas mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), dua tahun lalu.
“Saya bersyukur apabila kesungguhan selama ini terbalas dan ia membuktikan jika belajar bersungguh-sungguh pasti mendapat kejayaan biar di mana sekali pun kita belajar,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, di sini, semalam.

 

Manakala rakannya yang juga anak penoreh getah, Mohd Sobri Mohd Shaari, 18, mencatatkan kejayaan cemerlang apabila mendapat keputusan 9A 1B dalam SPM.
Kata Mohd Sobri, keazamannya untuk mencapai keputusan cemerlang begitu tinggi kerana dia mahu mengubah nasib keluarga.
“Kejayaan ini sebagai bukti anak penoreh getah mampu berjaya sekiranya berusaha bersungguh-sungguh.

 

“Sebelum mengulangkaji pelajaran, saya bangun seawal jam 4 pagi untuk menunaikan solat hajat selain menghafal al-Quran dan ia sentiasa diamalkan.
“Saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan sains fizik kerana mahu menjadi jurutera elektronik,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Murid selamat al-Quran – Metro


Murid selamat al-Quran

 21  4 Google +4  1  0

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob

Rantau Panjang: Ketika kanak-kanak lain seronok bermain air, lain pula dilakukan Nurul Natasha Mohd Yasin, 11, apabila dia menyelamatkan beberapa naskhah al-Quran di dalam bilik darjah yang ditenggelami banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, di sini, semalam.

Nurul Natasya yang juga murid tahun lima sekolah berkenaan berkata, dia keluar rumah untuk melihat keadaan sekolahnya yang ditenggelami banjir sebelum teringat ada beberapa naskhah al-Quran berada di dalam bilik darjah.

Katanya, meskipun terpaksa meredah air sehingga paras pinggang dalam kawasan sekolah berkenaan, dia memberanikan diri untuk melihat keadaan bilik darjah.

“Selepas masuk ke dalam bilik darjah saya memeriksa setiap meja murid dan mendapati ada al-Quran tertinggal sebelum segera menyelamatkannya daripada ditenggelami banjir.

FotoNURUL Natasha menyelamatkan beberapa naskhah Al-Quran di dalam bilik darjah daripada ditenggelami banjir.

“Meskipun terpaksa meredah banjir sehingga paras pinggang, saya tetap memberanikan diri untuk melihat keadaan bilik darjah, malah saya menganggap ia satu tanggungjawab sebagai umat Islam,” katanya ketika ditemui, semalam.

 

– See more at: http://www.hmetro.com.my/articles/Muridselamatal-Quran//Article#sthash.6qyGJwkh.dpuf

‘Messi’ sekolah minggu depan – Metro


‘Messi’ sekolah minggu depan

 0  1 Google +0  0  0

Kota Bharu: Remaja keciciran sekolah, Sufian Mat, 17, yang pernah digelar ‘Messi Malaysia’ boleh memulakan persekolahan seperti biasa minggu depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Zahari Daud yang mengesahkan perkara itu berkata, remaja terbabit diminta datang ke pejabat Jabatan Pelajaran Kelantan Ahad ini, bagi mendapatkan surat kebenaran bersekolah.
Katanya, selepas mendapat surat itu, dia boleh melaporkan diri untuk memulakan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang.

 

“Kita sudah berjumpa bapa saudara remaja itu hari ini (semalam) dan meneliti dokumen yang diperlukan untuk kita proses.
“Remaja itu boleh kembali ke sekolah minggu depan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, berdasarkan maklumat dan dokumen, remaja berkenaan cukup syarat dari segi usianya tidak melebihi 18 tahun dan layak meneruskan persekolahan seperti biasa.

 

Katanya, pihaknya mengkategorikan remaja itu sebagai keciciran pelajaran dan dia tiada masalah menyambung persekolahan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Semua sekolah dibuka semula – Sinar Harian


Semua sekolah dibuka semula

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2013
Semua sekolah dibuka semula
Persekolahan di sekolah terlibat banjir berjalan lancar.

RANTAU PANJANG – Kesemua  tiga sekolah menengah dan sebuah sekolah di Pasir Mas yang ditutup, setelah dinaiki air serta  jalan utama ke sekolah dinaiki air, telah pun dibuka.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, kesemua sekolah terlibat memulakan sesi pembelajaran semalam setelah air di sekolah terlibat mulai surut.

“Kesemua sekolah terlibat banjir memulakan sesi persekolahan setelah air surut dan jalan ke sekolah juga sudah boleh dilalui,” katanya.

Sebelum ini. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan (SABK) Kerajaan Diniah, Bonggor, SABK Al-Falah, Siram dan Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang terpaksa di tutup.

Penutupan sekolah ini menyebabkan 1998 pelajar daripada empat sekolah di Pasir Mas tidak dapat ke sekolah.

Hussain sebelum ini, memaklumkan sekolah ditutup akibat banjir perlu menggantikannya sebaik banjir pulih seperti sediakala. Tinjauan mendapati pekarangan sekolah terlibat masih berlumpur, sementara sesi persekolahan di sekolah terlibat berjalan lancar.

Sementara itu seorang bapa, Mohd Asli Adam, 43, dari Kampung Lanchang berkata, hari ini merupakan hari pertama persekolahan anak sulungnya bagi sesi 2013.

Menurutnya, Nurul Zulaika Suhaida, 14, tidak dapat ke sekolah sejak pelajar lain memulakan persekolahan 1 Januari lalu memandangkan sekolah itu tidak dapat dihubungkan dengan kawasan sekitar.

“Saya gembira anak sulung dapat memulakan persekolahan setelah tidak dapat ke sekolah  akibat banjir sejak seminggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah – Sinar Harian


3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Januari 2013
3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah
Kawasan rendah di sepanjang Sungai Golok masih digenangi air.

RANTAU PANJANG – Seramai 3,918 pelajar di lapan sekolah di Kelantan tidak dapat meneruskan persekolahan, apabila lapan sekolah masih ditutup setelah dinaiki air serta jalan ke sekolah terputus hubungan.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, empat sekolah terlibat di Tumpat sementara empat lagi di Pasir Mas.

Menurutnya, sekolah di daerah Pasir Mas yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah, Bonggor, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah Siram, Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang.

“Di Tumpat pula SK Simpangan, SK Bendag Pak Yong, SK Teluk Jering dan SABK Nurul Huda.

“Sekolah lain beroperasi seperti biasa dan pihak kami sedang memantau keadaan untuk melihat sekolah yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, petang semalam.

Kelmarin, SK Sri Rantau Panjang 1 dan  SK Sri Rantau Panjang 2 yang turut dinaiki air telah dibuka semula hari ini.

Sementara itu, jalan di Kubang Rambutan yang dinaiki air serta tidak dapat dilalui kenderaan ringan sudah boleh dilalui semua kenderaan.

Paras Air Sungai Golok sehingga jam 5 petang 9.52 meter dan masih melebihi paras bahaya 9 meter.

Murid tahun 3 lemas ketika mandi di tasik – Sinar Harian


Murid tahun 3 lemas ketika mandi di tasik

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 September 2012

PASIR MAS – “Umi, esok (hari ni) sekolah adik cuti,” itu antara kata-kata terakhir kanak-kanak mati lemas di sebuah tasik, tidak jauh dari kediamannya di Gual To’ Deh, di sini, semalam.

Biarpun merasa pelik dengan kata-kata mangsa, Rabiatul Adawiyah Kamaruzaman, 9, murid Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Norizan Hamzah, 41, hanya memendamkannya dan tidak mengesyaki perkara buruk akan menimpa anaknya.

Ibu kepada lapan anak ini tidak menyangka dalam tempoh tiga tahun dia kehilangan tiga ahli keluarga.

Bagaimanapun, dia pasrah dengan ketentuan Ilahi dan sedar tuhan lebih menyayangi suami dan anak-anaknya.

Norizan berkata, berita kematian Rabiatul Adawiyah begitu berat diterimanya kerana sekali lagi diuji tuhan kehilangan orang tersayang.

Menurutnya, 26 Jun 2009 suami meninggal kerana pendarahan dalam otak, diikuti anak lelakinya pada 1 Ogos 2010 akibat masalah pada paru-parunya sejak kecil lagi.

“Saya reda kerana tuhan lebih sayangkan mereka, tetapi tidak menyangka cuti yang dimaksudkan rupa-rupanya dia tidak mahu ke sekolah.” katanya kepada Sinar Harian.

Norizan berkata, semalam dia ke Jeli kerana ada urusan di sana, selepas itu merancang ke Kota Bharu, bagaimanapun dia tidak sempat ke sana kerana dimaklumkan berita kematian anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Menurutnya, setelah diberitahu anaknya, Khaliman, 11, adiknya lemas barulah dia terkenang semula kata-kata itu.

“Sebelum ini arwah pernah mengikut abangnya mengail di tasik itu, dan kerap bercerita airnya cetek.

“Saya juga kerap berpesan supaya mereka berhati-hati jika ke tasik itu,” katanya.

Norizan berkata, anaknya ke tempat kejadian bersama abangnya Khaliman, 11, Firdaus, 13, dan adik bongsunya berusia lima tahun yang juga lelaki.

Menurutnya, dia dimaklumkan penduduk semalam air ditandak untuk menanam padi berbanding biasa agak cetek dan tidak terlalu risau anaknya ke sana.

“Sekarang hanya tinggal enam anak bersama saya tiga lelaki dan tiga perempuan,” katanya sedih mengenangkan kehilangan anak perempuannya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner (ACP) Haliludin Rahim mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian.

Lima beranak berhimpit di ruang tamu – Metro


Lima beranak berhimpit di ruang tamu
Laporan dan foto JAUHARIATUL AKMAL JOHAR
am@hmetro.com.my

RANTAU PANJANG: Lima beranak hanya mampu tidur beralaskan tikar getah dan berhimpit di ruang tamu memandangkan rumah yang didiami sejak 17 tahun tidak mempunyai bilik tidur.

Pasangan suami isteri, Abdullah Yah, 39, dan isterinya, Fatimah Mat Hassan, 49, hidup dalam kemiskinan, menyebabkan mereka tidak mampu untuk membaik pulih rumah di Kampung Kubang Puyuh, di sini.
Tiga anak mereka berusia 18 hingga 14 tahun terpaksa dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dan dua daripadanya masih meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periuk.

Menurut Abdullah, dia mempunyai pendapatan tidak menentu dan hanya melakukan kerja kampung yang cukup untuk digunakan bagi makan dan minum sekeluarga.
“Rumah ini didirikan atas tanah mentua yang diserahkan kepada isteri. Ini saja rumah yang mampu saya sediakan untuk keluarga berteduh dan ia semakin usang.
“Saya tidak mampu mengeluarkan wang bagi membaik pulih rumah kerana pendapatan sekadar cukup untuk menyara keluarga,” katanya.

Tinjauan Harian Metro ke rumah itu semalam, mendapati keadaan rumah keluarga terbabit terlalu sempit untuk didiami dan hanya mempunyai ruang tamu serta dapur.
Keluarga terbabit juga terpaksa tidur beralaskan lantai papan kerana tidak mampu membeli tilam.

Abdullah berkata, dia sedar sememangnya tidak sesuai bagi dua anak lelaki dan perempuannya untuk tidur di satu ruang sama, namun mereka tiada pilihan lain.
Katanya, selain masalah rumah, dia runsing mengenai keadaan kesihatan isteri yang menghidap penyakit kencing manis dan perlu mendapatkan rawatan susulan setiap bulan.
“Isteri saya perlu mengambil suntikan sebanyak dua kali disebabkan penyakit kencing manis dialami selepas melahirkan anak bongsu.
“Mengenai rumah, saya memohon Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan berharap ia dapat dipertimbangkan supaya dapat tinggal dalam rumah lebih selesa,” katanya.

Mayat guru dalam tandas – Berita Harian


Mayat guru dalam tandas
03:22:56 AM Cetak Emel Kawan

Pasir Mas: Kehadiran banyak lalat dan bau busuk dalam tandas di Masjid Kempas, Lati di sini, membawa kepada penemuan mayat guru sekolah agama yang dipercayai meninggal dunia dua hari lalu.

Mohd Khairudin Nordin, (kanan) 55, yang dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung, mengajar di Sekolah Arab Maahad Muhammadi Rantau Panjang, Banggol Kulim dan ditemui dalam keadaan terduduk.

Sebelum itu, seorang bilal yang curiga dengan kehadiran lalat dan bau busuk cuba membuka pintu tandas berkenaan, namun ia berkunci dari dalam sebelum memaklumkan setiausaha masjid dan polis.
Selepas pintu tandas dipecahkan anggota bomba, mereka menemui mayat beliau.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim, berkata bilal masuk ke dalam tandas jam 2.50 petang, kelmarin, dan curiga banyak lalat dan bau busuk sebelum memaklumkan kepada polis.

Isteri pertama mangsa, Rahimah Mohd Nor, 56, yang dimaklumkan kejadian itu oleh polis, berkata beliau menyangka suaminya tidak pulang kerana bermalam di rumah madunya.

“Isteri keduanya (madu Rahimah) pula beranggapan suami bermalam di rumah saya, masing-masing beranggapan begitu dan tidak mengesyaki sebarang perkara buruk.
“Kali terakhir saya menemui suami, petang Isnin lalu sebelum berbuka puasa apabila arwah pulang mengambil makanan untuk berbuka di masjid sebelum bermalam di rumah isteri kedua,” katanya.

Pelajar hilang lepas waktu rehat – Sinar Harian


Pelajar hilang lepas waktu rehat
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Jun 2012

Penduduk kesal melihat pagar sekolah yang rosak dijadikan peluang pelajar ponteng.
KUALA SELANGOR – Gejalaponteng sekolah yang sering dilaporkan berlaku di sekitar daerah ini rata-ratanya berpunca daripada struktur pagar yang rosak sekali gus memudahkan pelajar menyelinap keluar ketika waktu rehat.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang mendapati, pagar hijau yang menyembah bumi di belakang sekolah terbabit didakwa menjadi laluan pintas pelajar ponteng.

Dakwaan itu turut dipersetujui penduduk di Taman Purnama yang bersebelahan sekolah terbabit berikutan sering terlihat beberapa pelajar ponteng pada waktu rehat dan selepas musim peperiksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Purnama, Zulkifli Sudin berkata, keadaan pagar yang rosak dijadikan satu peluang buat pelajar sekolah untuk ponteng tanpa disedari guru.

“Saya turut menerima aduan daripada penduduk yang memaklumkan sering melihat kelibat remaja berpakaian sekolah keluar daripada laluan pagar terbabit namun tiada kuasa untuk menegurnya.

“Saya berpendapat pagar yang rosak ini perlu dibaiki segera memandangkan segelintir pelajar mengambil peluang untuk melarikan diri dan terjebak dengan perkara yang kurang sihat.

“Sudah pasti, remaja ini akan menghabiskan masa di kafe siber berdekatan untuk bermain permainan video online dan terikut dengan budaya tidak sihat sekali gus menghancurkan masa depan.

“Pemantauan pihak sekolah amat penting bagi menyelesaikan gejala ponteng ini dan kalau boleh, ada guru disiplin atau pengawal keselamatan menjaga laluan ini sementara menunggu kerja penambahbaikan,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Rantau Panjang, Bibit Mardzuki berkata, pihaknya mengakui ada rungutan daripada guru yang melaporkan kehilangan pelajar mereka.

“Untuk makluman, pagar terbabit sering kali dibaiki pihak sekolah setiap tahun, namun akibat vandalisme individu tidak bertanggungjawab, lokasi pagar lebih rendah daripada kawasan penempatan penduduk itu begitu mudah dipijak.

“Pihak sekolah tidak berpeluk tubuh sahaja melihat perkara ini dan memohon untuk membina pagar batu bernilai RM100,000 sebagai langkah penyelesaian, namun sehingga kini peruntukan masih belum ada,” katanya

Ibu lihat anak melambung – Sinar Harian


Ibu lihat anak melambung

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Mei 2012
Ibu lihat anak melambung
Motosikal yang dibonceng arwah terlibat kemalangan dengan sebuah kereta.

RANTAU PANJANG – Seorang ibu kepada dua anak hanya mampu melihat badan anak sulungnya melambung ke udara sebelum terperosok ke bawah kereta dalam kemalangan awal pagi semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Muhammad Hambali Nasir, 14, dalam perjalanan dari rumahnya hanya beberapa meter dari tempat kejadian di hadapan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang sebelum motosikal yang diboncengnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta.

Faridah Sulaiman, 41, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan menghantar anak bongsunya ke Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang sempat melihat badan anaknya melambung tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.

Menurutnya, sebaik anaknya jatuh terperosok ke bawah kereta, dia terus mendapatkan anaknya serta berusaha menariknya keluar dari bawah kereta.

“Beberapa orang yang berada di tempat kejadian cuba menenangkan saya yang agak panik ketika itu.

“Ketika kejadian saya benar-benar terkejut sehingga lupa nombor telefon suami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah mertuanya di belakang Pasaraya Pantai Timur.

Faridah berkata, Muhammad Hambali tidak menunjukkan banyak perubahan sebelum kemalangan, cuma sejak sebulan lalu dia kerap mengadu badannya lemah serta lesu.

Menurutnya, pagi semalam juga arwah anaknya tidak mahu ke sekolah kerana penat dan letih.

“Dia kerap mengadu penat dan letih tanpa sebab, walau pun dia tidak mahu ke sekolah semalam saya tetap memujuk dan dia akhirnya akur ke sekolah.

“Selalunya sebelum keluar ke sekolah arwah bersalam serta mencium tangan saya, tetapi semalam dia tidak melakukan rutin hariannya itu,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian menimpa anak sulungnya itu.

Faridah berkata, sebagai ibu dia cukup bangga dengan anaknya yang turut menunjukkan perkembangan membanggakan dalam pelajaran.

Menurutnya, anaknya baru menerima anugerah kecemerlangan di sekolah baru-baru ini, bagaimanapun pasrah dengan dugaan ini.

“Kebiasaannya arwah yang menunggang motosikal sementara rakannya yang cedera pada bahagian kaki membonceng tetapi hari ini sebaliknya apabila dia yang membonceng,” katanya.

Sementara itu, nenek arwah, Azizah Ismail, 71, berkata, dia sempat membawa cucunya bercuti di Hadyai dan dia kelihatan begitu seronok memandangkan jarang dibawa melancong keluarganya.

Menurutnya, arwah tidak menunjukkan perubahan dan dia tidak menyangka itu merupakan percutian terakhir bersama arwah.

Jenazah arwah yang meninggal di Hospital Daerah Pasir Mas kira-kira jam 10 pagi semalam dituntut keluarga dan dikebumikan 2 petang di Tanah Perkuburan Islam rantau Panjang.