Pengawal keselamatan sekolah disamun – Sinar Harian


Pengawal keselamatan sekolah disamun

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mei 2013
Pengawal keselamatan sekolah disamun
Sebuah laci yang diselongkar penjenayah.

RAWANG – Dua lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah sekolah di sini disamun lapan lelaki bertopeng bersenjatakan parang dalam kejadian jam 2 pagi baru-baru ini.

Sumber polis berkata, lelaki warga tempatan itu diserang dalam pondok pengawal sekolah berkenaan sebelum diikat pada bahagian tangan dan kaki hampir dua jam.

Menurut sumber, penjenayah mengambil masa hampir dua jam untuk menceroboh kawasan berkenaan dan melarikan beberapa barangan berharga termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan komputer riba.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun barangan miliknya seperti dompet dan telefon bimbit turut dilarikan suspek.

“Kerugian pihak sekolah juga dianggar bernilai lebih RM10,000,” katanya. Kedua-dua mangsa tiba ke balai polis sekitar jam 4.30 pagi selepas menjadi tawanan suspek.

2 lagi wanita mangsa simbah asid di Rawang – Bernama


2 lagi wanita mangsa simbah asid di Rawang

28 Mac 2012

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dan seorang gadis menjadi mangsa simbahan asid oleh dua lelaki ketika menunggu bas di Batu 16, Rawang, dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, S.Rani, 46, dan Nuraqilah Osman, 16, telah disimbah asid oleh seorang daripada suspek yang berjalan kaki.

Beliau berkata, suspek telah meragut rantai leher Rani sebelum melarikan diri ke kawasan berhampiran.

“Semasa melarikan diri, seorang daripada suspek itu menyimbah cecair dipercayai asid ke arah wanita itu yang turut mengenai mangsa kedua menyebabkan belakang badannya melecur,” katanya dalam satu sistem pesanan ringkas malam ini.

Abdul Rahim berkata Nuraqilah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang manakala Rani, yang cedera di muka, leher, tangan serta dada, masih dirawat di hospital sama.

“Mangsa tidak dapat mengecam identiti kedua-dua suspek kerana semasa kejadian, keadaan gelap dan perlakuan suspek terlalu pantas,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – Bernama