Dikurung seminggu – Metro


Dikurung seminggu

 6  0 Google +0  1  0

Oleh MOHD RAZLAN SALLEH, SHAMRAN SARAHAN, MUHAMAAD RAZIS ISMAIL, MOHD HAFIZEE AROP, AZLAN HAFEEDZ, CLEO WILL dan MOHD HANAFIS ABDUL HARIS

Mengejutkan apabila seramai 15 orang dilaporkan hilang setiap hari di negara ini dan rata-ratanya membabitkan gadis berusia 13 hingga 17 tahun yang kebanyakannya memiliki rupa paras menawan.

Lebih membimbangkan, polis mengesahkan antara punca kehilangan gadis berkenaan ialah diculik sindiket pemerdagangan manusia untuk dijadikan pelacur di negara jiran.

Menyedari isu terbabit menakutkan ibu bapa, terutama yang memiliki anak perempuan, wartawan Metro Ahad menemubual beberapa keluarga yang menderita akibat kehilangan anak gadis mereka, selain penyesalan beberapa remaja perempuan akibat keterlanjuran melarikan diri dari rumah.

Diharap kisah itu memberi iktibar kepada semua pihak, terutama ibu bapa dan remaja perempuan, bagi mengelak kesilapan sama berlaku dalam keluarga.

FotoELINA dipeluk erat ibunya apabila dia pulang ke rumah selepas melarikan diri dua bulan.

Bagaikan menempah bala, seorang remaja perempuan di daerah ini yang lari dari rumah kerana mengikut beberapa lelaki baru dikenali dikurung selama seminggu, jarang diberi makan selain diugut bunuh jika cuba melarikan diri.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/29

Tiada lagi senyuman – Metro


Tiada lagi senyuman

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: “Sejak empat bulan lalu anak saya tidak mampu bergerak atau berbuat apa-apa termasuk tersenyum,” kata Norhakimah Ghazali, 45, ibu kepada Hakim Aizuddin Ismariza, 7, yang lumpuh seluruh badan akibat dilanggar lori 10 September lalu.

Hakim yang sepatutnya memasuki tahun dua di Sekolah Kebangsaan Islah di sini, Selasa ini, kini terlantar di atas katil dan perlu sentiasa diberi perhatian rapi.
Menurut Norhakimah, dia dan suaminya, Ismariza Dollah, 36 tetap positif anak ketiga daripada lima beradik itu pulih nanti.

 

“Kami kena kuat untuk menyakinkan anak lain Hakim pulih. Setiap kali mereka bertanya, saya beritahu Hakim perlu berehat secukupnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Lalat di sini, baru-baru ini.
Mengimbas kejadian 10 September itu, Norhakimah berkata, dia di dalam rumah menidurkan seorang anaknya manakala Hakim bermain di hadapan rumah.
Katanya, dia mendapat panggilan telefon daripada jiran memberitahu anaknya dilanggar lori ketika melintas jalan dan dibawa ke klinik Kedai Lalat untuk rawatan.

 

 

“Saya bergegas ke klinik dan sempat melihat Hakim diusung ke dalam ambulans untuk rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
“Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan dirawat di hospital itu selama 18 hari,” katanya. Menurutnya, doktor memaklumkan anaknya kritikal dan memerlukan penjagaan rapi kerana saraf mengawal pergerakan tidak berfungsi akibat pelanggaran kuat.

 

“Alhamdulillah, beberapa hari kemudian Hakim menunjukkan perkembangan positif dengan membuka mata dan dimasukkan ke wad biasa.
“Bagaimanapun, selepas itu dia sering demam panas diikuti beberapa bahagian badannya termasuk tangan dan kaki membengkok. Doktor memberitahu Hakim kemungkinan lumpuh seumur hidup,” katanya.
Norhakimah yang juga seorang guru berkata, anaknya itu diberi minum susu enam kali sehari menerusi tiub dan dimandikan dua kali sehari serta memakai lampin pakai buang.
“Kami perlu menggunakan mesin menyedut kahak jika dia batuk bagi mengelak dia sesak nafas,” katanya yang membelanjakan RM1,000 sebulan untuk kos penjagaan dan rawatan anaknya itu.
Katanya, Hakim juga perlu dibawa ke hospital untuk rawatan fisioterapi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31

Uji kaji 10 botol bawa maut – Metro


Uji kaji 10 botol bawa maut

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TUTUP...anggota penyelamat menutup jenazah mangsa. Gambar kecil, Muhammad Hafiz.
TUTUP…anggota penyelamat menutup jenazah mangsa. Gambar kecil, Muhammad Hafiz.

KOTA BHARU: Eksperimen seorang remaja memasukkan 10 botol minuman plastik 500 mililiter ke dalam seluar untuk dijadikan pelampung mengundang tragedi apabila dia mati lemas selepas botol digunakannya itu terkeluar dari seluarnya dalam kejadian di Sungai Banggol, Kubang Tuman, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, Muhammad Hafiz Fakri Mohamed, 13, pada mulanya mandi bersama empat rakannya di kawasan cetek di tepi sungai, tetapi tiba-tiba menuju tengah sungai dengan memasukkan botol plastik ke dalam seluarnya.

Pada mulanya dia gembira kerana badannya terapung, tetapi tidak lama kemudian, terkapai-kapai dan tenggelam timbul sambil meminta tolong.

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat diselamatkan apabila dihanyutkan arus deras dan mayatnya ditemui setengah jam kemudian oleh penduduk kampung beberapa meter dari tempat dia tenggelam.

 
Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/09

‘Abah melambung dirempuh kereta’ – Metro


‘Abah melambung dirempuh kereta’
Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

KOTA BHARU: “Abah, bangun abah,” kata seorang pelajar berusia 13 tahun selepas melihat bapanya melambung ke atas jalan apabila motosikal dinaiki dilanggar sebuah kereta di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dewan Beta, Ketereh, di sini, kelmarin.

Situasi sayu itu turut disaksikan orang ramai yang mengerumuni pelajar berkenaan, Ahmad Aiman yang cuba memanggil bapanya, Pasrurazi Muhamad, 50, selepas tidak sedarkan diri dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akibat cedera parah di kepala, tangan dan kaki.

Kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave ingin ke sekolah berkenaan menjemput anaknya itu pulang.
Mangsa dan pemandu Proton Wira dari arah Kota Bharu menghala ke Jalan Kemubu, Machang, namun ketika tiba di hadapan sekolah, mangsa cuba membelok ke kanan sebelum dirempuh kereta terbabit.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20

‘Mak Su tarik tangan’ – Metro


‘Mak Su tarik tangan’
Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

KOTA BHARU: “Tidak sangka, ia menjadi kenyataan apabila malam sebelum kejadian, anak saya memberitahu arwah kakaknya mengajaknya tinggal bersama,” kata Mat Yasin, 51, bapa kepada seorang murid perempuan tahun enam yang dikhuatiri lemas selepas cuba menyelamatkan anak saudaranya berusia sembilan tahun ketika mereka mandi di Sungai Kelantan, Kuala Besar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Nurfitriah Mat Yasin, 12, dihanyutkan arus deras selepas cuba menarik tangan anak saudaranya, Muhammad Ishrak Mohd Sofian yang lemas.
Bagaimanapun, Muhammad Ishrak diselamatkan seorang penduduk kampung yang melihat kejadian itu, manakala Nurfitriah gagal diselamatkan.

Sehingga jam 7 malam semalam, Nurfitriah belum ditemui.

 

Mat berkata, dia tidak menyangka kata-kata anaknya itu petanda dia akan kehilangan seorang anak.

Perut berlubang – Metro


Perut berlubang
Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Akibat membrek mengejut bagi mengelak seekor ular yang melintas jalan, seorang budak lelaki berusia 11 tahun cedera parah apabila perutnya berlubang sebesar 2.54 sentimeter tertikam hendal basikal ditunggangnya akibat terjatuh di Kampung Keranji, Pasir Tumboh di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, Mohammad Shahrul Nizam Shahrul dalam perjalanan ke padang di kampungnya bermain bola sepak bersama rakannya dikenali sebagai Udin dan mereka menunggang basikal berasingan.
Ketika dalam perjalanan, Mohammad Shahrul yang menunggang basikal jenis Fixie terserempak dengan seekor ular yang melintas jalan lalu membrek mengejut dan terjatuh menyebabkan perutnya tertikam bucu hendal.

Murid Sekolah Kebangsaan Wakaf Stan itu menarik keluar hendal berkenaan dan dengan bantuan ‘Udin’ serta penduduk, dia dibawa ke rumah sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Menurut Mohammad Shahrul Nizam, dia hanya mampu memegang perutnya yang berlumuran darah sambil menahan sakit terbaring di depan rumah menunggu ayah pulang untuk membawa saya ke hospital.