Redah api demi sijil – Metro


Redah api demi sijil

Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TELUK INTAN: Seorang remaja perempuan sanggup meredah api demi menyelamatkan dokumen penting miliknya termasuk sijil Malaysia Book of Records (MBR) yang diterimanya ketika menuntut di sekolah rendah dalam kejadian yang memusnahkan rumah keluarganya, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi di Kampung Sungai Nibong itu, sebuah rumah didiami lapan beranak musnah menyebabkan kerugian kira-kira RM100,000.
Remaja berkenaan, Nurul Syafikah Ahmad, 16, berkata, dia nekad masuk semula ke dalam rumah yang sedang terbakar biarpun dihalang oleh ahli keluarga yang bimbang keadaannya.

 

Menurutnya, dia mengetahui keadaan ketika itu boleh mendatangkan kecederaan serius, namun bertekad bagi menyelamatkan dokumen penting berkenaan.
“Bagi saya, sijil berkenaan amat penting dan sangat berharga.
“Saya tidak fikir lain ketika itu selain berusaha menyelamatkan sijil berkenaan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

 

 

Katanya, sijil MBR itu sangat bermakna buatnya kerana projek berjalan 10,000 langkah dan acara senamrobik 1Malaysia yang dijalankan bersama rakan sekelas ketika menuntut di sekolah rendah mendapat pengiktirafan agensi itu.
Dia yang masih sugul dan lemah selepas kejadian itu bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu termasuk tujuh ahli keluarga lain.

 

Sementara itu, sepupu Nurul Syafikah, Norhayati Jamaluddin, 27, berkata, sebelum kejadian, mereka sekeluarga sedang berehat di tingkat atas rumah sambil menonton televisyen.
“Pada mulanya, saya terhidu bau getah terbakar dari dapur rumah, namun tidak lama kemudian api marak dari belakang rumah.
“Saya menjerit sambil meminta semua yang berada di dalam rumah menyelamatkan diri dan pada masa sama, saya mendukung bayi berusia dua tahun,” katanya.
Katanya, dia sekeluarga tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda termasuk beberapa dokumen penting dan beberapa peralatan elektrik.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Hairam Kasran, berkata dua jentera bomba bersama tujuh anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28