Sidang khas bincang masa depan sekolah Tamil – Bernama


Sidang khas bincang masa depan sekolah Tamil

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Persidangan khas membincangkan masa depan sekolah jenis kebangsaan Tamil perlu diadakan bagi menghasilkan satu pelan induk mengenainya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, persidangan itu membabitkan warga pendidik sekolah Tamil, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan pelbagai aspek mengenai sekolah terbabit.
Katanya, ia termasuk sama ada masih relevan mewujudkan kelas peralihan untuk pelajar sekolah terbabit.

 

“Masalah kekangan guru sekolah Tamil yang mempunyai kelulusan ijazah, dan reka bentuk sekolah serta keperluan lain, patut dibincangkan pada persidangan itu,” katanya pada Majlis Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kinrara, di sini semalam.
Beliau berkata, rumusan daripada persidangan itu boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran untuk membangunkan sekolah jenis terbabit.
“Kerajaan komited dan ikhlas memajukan pendidikan sekolah Tamil serta sekolah lain,” katanya, yang turut mengumumkan kerajaan sudah meluluskan pembinaan enam lagi SJK Tamil di empat negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor dan Johor.

 

 

Najib berkata, mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini meluluskan ‘lesen’ membina tiga SJK Tamil di Selangor iaitu di Taman Sentosa (Klang), Taman PJS1 (Petaling Jaya) dan Bandar Mahkota (Cheras). – Bernama

PM minta pelan hala tuju SJKT – Utusan


PM minta pelan hala tuju SJKT

 

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

 

NAJIB Tun Razak bertanya soalan kepada murid semasa sesi soal jawab pada Majlis Mesra Perdana Menteri bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kinrara, Puchong, Selangor, semalam. – UTUSAN/ASWAD YAHYA

 

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pendidik India serta badan bukan kerajaan (NGO) kaum itu menyediakan satu pelan hala tuju pendidikan Tamil untuk dibincangkan bersama kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa komited untuk bekerjasama dengan pihak tersebut demi pembangunan serta keselesaan sekolah vernakular yang menjadi salah satu asas penting dalam sistem pendidikan negara.

Justeru, beliau meminta pihak terbabit terutama pengurusan SJKT mengadakan satu persidangan khas bersama pihak terbabit dalam usaha mewujudkan pelan hala tuju berkenaan.

Katanya, antara perkara yang perlu dibincangkan termasuklah mengenai kewajaran sistem kelas peralihan yang masih diamalkan di sekolah tersebut.

“Masalah kekangan guru sekolah Tamil yang mempunyai kelulusan ijazah dan reka bentuk sekolah Tamil itu serta lain-lain keperluan juga perlu dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Kinrara yang julung kali dilakukan oleh seorang Perdana Menteri, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang disertai oleh Guru Besar, petugas dan ahli PIBG dari 524 SJKT seluruh negara itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk G. Palanivel merangkap Presiden MIC dan Menteri Pembangunan Sumber Manusia, Seri Dr. S. Subramaniam.

Hadir sama, Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden PPP, Datuk M. Kayveas dan Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kelulusan pembinaan enam buah SJKT baru iaitu di Taman Keladi, Sungai Petani; Heawood Estate di Sungai Siput; Taman Sentosa di Klang; Taman PJS1 di Petaling Jaya; Bandar Mahkota di Cheras dan Bandar Sri Alam di Masai.

Selain itu, katanya, Kementerian Pelajaran telah diarahkan untuk memindahkan kedudukan SJKT di seluruh negara yang mempunyai bilangan murid di bawah 10 orang ke kawasan terdekat yang mempunyai ramai penduduk India.

“Saya juga berbesar hati mengumumkan peruntukan khas RM3.5 juta kepada SJKT Kinrara sebagai hos pertemuan kali ini untuk pembinaan sebuah bangunan empat tingkat supaya lebih cemerlang pada masa depan,” katanya.