Skim Perantisan Mekatronik untuk belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia – Utusan


Skim Perantisan Mekatronik untuk belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Bagi melahirkan lebih ramai tenaga profesional dan separa profesional dalam pelbagai bidang teknologi dan kejuruteraan, kerajaan serta pihak industri mengambil inisiatif menyediakan Skim Perantisan Mekatronik kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Eksekutif Auto Prima Technology Training Sdn. Bhd., Juhaidi Yean Abdullah berkata, selain skim pengajian serta latihan, belia yang terpilih akan diberikan elaun bulanan sebanyak RM500 yang ditaja pihak industri.

Jelasnya, mekatronik adalah satu bidang baru yang penting dalam industri masa kini yang menggabungkan kejuruteraan mekanikal dengan kejuruteraan elektronik, teknologi komputer dan kawalan untuk menghasilkan suatu sistem bersepadu.

“Pembelajaran merangkumi aspek daripada segi automasi seperti PLC (Programmable Logic Controller), Pneumatic & Hydraulic, mekanikal dan elektronik.

“Kursus ini menyediakan peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan elektrikal serta bidang automasi dan robotik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Juhaidi, selain daripada pembelajaran di dalam kelas atau bengkel, pelajar juga perlu melaksanakan projek secara berkumpulan.

“Tujuannya untuk memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan apa yang telah dipelajari.

“Mereka akan mereka cipta atau membuat kajian dalam reka cipta sedia ada di samping mempelajari kemahiran menguruskan projek secara berkumpulan,” katanya.

Selepas tamat pengajian, jelas beliau, perintis akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia Juruteknik Automasi (Mekatronik) Tahap 3 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta sijil daripada Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (PSMB) dan Auto Prima.

Menurut beliau, pelajar-pelajar skim itu juga akan diberi latihan praktikal di syarikat-syarikat penaja.

“Kita menjamin tawaran kerja kepada perantis yang tamat pengajian dan latihan. Banyak syarikat yang mencari mereka yang lulus dan berkemahiran dalam bidang ini,” katanya.

Menurut Juhaidi, pendidikan teknikal dan vokasional sangat sesuai bagi pelajar yang meminati bidang kemahiran.

“Ibu bapa dan para remaja, terutama lulusan SPM, harus mempunyai pandangan yang betul terhadap pendidikan vokasional.

“Dengan wujudnya peluang pekerjaan yang semakin luas, skim gaji yang menarik dan potensi kenaikan pangkat dalam karier, sektor ini memberi jaminan yang baik,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai skim latihan tersebut boleh didapati dengan menghubungi talian 03-51217153 atau 012-6888445 serta dengan melayari laman web http://www.autoprima.edu.my.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20130116/pa_02/Skim-Perantisan-Mekatronik-untuk-belia-lepasan-Sijil-Pelajaran-Malaysia#ixzz2IO5U2pDj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Terengganu Rancang ‘Summer Camp’ Untuk Pelajar Cemerlang SPM Tahun Depan – Bernama


Terengganu Rancang ‘Summer Camp’ Untuk Pelajar Cemerlang SPM Tahun Depan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengadakan program ‘Summer Camp’ atau kem musim panas bagi pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia tahun depan, bagi mendedahkan mereka dengan kehidupan di kampus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata program perintis itu akan diadakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Antara lain program bertujuan memastikan pelajar Terengganu bersedia dari aspek mental dan fizikal sebelum melanjutkan pelajaran ke perantauan yang semestinya menuntut emosi dan kesabaran tinggi,” katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Selain itu katanya, program juga bertujuan menangani kelemahan penuntut Terengganu pada aspek komunikasi sama ada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu.

Beliau sebelum itu merasmikan Program Pertandingan Memasyarakatkan Inovasi Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2012 di UMT, yang disertai 17 kumpulan dari IPT Pantai Timur bagi memilih enam kumpulan mewakili Zon Pantai Timur ke peringkat kebangsaan.

Mengulas mengenai usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi kemahiran kreativiti dan reka cipta pelajar di sekolah menengah, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan menganjurkan pertandingan itu dengan kerjasama UMT sebagai konsultan.

“Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang ingin pelajar lebih kreatif dan inovatif dalam menghadapi persaingan sengit dalam dunia serba canggih sekarang,” katanya. -BERNAMA