NUTP syor bendung segera remaja samseng – Berita Harian


NUTP syor bendung segera remaja samseng
2012/06/20

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu tindakan segera diambil bagi membendung kegiatan remaja samseng menyerang sekolah supaya kejadian buruk seumpama itu tidak berulang.

Sambil melahirkan rasa kesal terhadap insiden di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana di sini tengah hari kelmarin, NUTP juga mahu aspek keselamatan di sekolah diberi perhatian serius.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata usaha untuk mengekang kegiatan seperti itu daripada berulang tidak hanya terletak pada pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya tanggungjawab sama harus dipikul ibu-bapa untuk mengawasi pergerakan anak mereka.
“Isu mengenai keselamatan di sekolah ini sememangnya sudah lama kita bincangkan mengenainya termasuk ada cadangan untuk menempatkan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sekolah bagi menjaga keselamatan pelajar.

“Kejadian seperti ini harus dikawal mulai dari sekarang, walaupun ia adalah kes terpencil, tetapi harus diberi perhatian serius oleh semua pihak, ” katanya ketika dihubungi semalam.

Polis, RELA perluas rondaan ke sekolah – Bernama


Polis, RELA perluas rondaan ke sekolah
2012/06/07

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri akan memperluaskan skop rondaan bersama di antara Polis Diraja Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sekolah termasuk sekolah antarabangsa di Lembah Klang.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata rondaan akan dijalankan pada waktu puncak persekolahan.
“Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, langkah itu juga sebagai meneruskan kejayaan inisiatif “omnipresence” di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). – BERNAMA