Remaja 13 tahun rancang culik – Sinar Harian


Remaja 13 tahun rancang culik

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012

SHAH ALAM – Seorang remaja berusia 13 tahun sanggup berlakon diculik dan menuntut wang tebusan sebanyak RM100,000.

Bagaimanapun, drama penculikan itu tidak bertahan lama setelah polis menemui remaja lelaki tersebut di rumah rakannya di Taman Selayang Jaya, Jumaat lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, bapanya menyedari kehilangan anaknya selepas mendapati kereta Proton Gen-2 miliknya hilang, kira-kira jam 7.30 pagi.

Beliau berkata, sehelai nota yang mengatakan anaknya diculik juga ditemui di dalam rumahnya di Bukit Idaman, Selayang.

“Lelaki itu dituntut untuk menyerahkan wang tebusan berjumlah RM100,000. Selain itu, wang tunai berjumlah RM5,000 juga didapati hilang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

“Siasatan mendapati anaknya tidak diculik tetapi berada bersama dua rakannya.

“Kita turut menemui sebahagian wang yang dilaporkan hilang iaitu sebanyak RM3,000 dan tiga buah basikal yang baru dibeli,” katanya.

Beliau berkata, kereta milik lelaki itu ditemui ditinggalkan di sebuah pusat membeli belah di Selayang.