Remaja 17 tahun didakwa cuba cabul kanak-kanak 9 tahun – Utusan


Remaja 17 tahun didakwa cuba cabul kanak-kanak 9 tahun

03/11/2011 8:24pm

 

 

Oleh YULPISMAN ASLI

 

MACHANG 3 Nov. – Seorang remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan, cuba mencabul dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

Remaja bawah umur itu didakwa dengan niat melakukan kekerasan cuba mencabul kehormatan mangsa di sebuah rumah kosong di Kampung Pak Romah dekat sini kira-kira pukul 4.15 petang, 27 Oktober lalu.

Dia yang sudah tidak bersekolah dan membantu ibunya berniaga didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Bagi pertuduhan kedua pula, remaja terbabit yang ditahan pada Selasa lalu, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebatang kayu ke atas mangsa pada tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Majistret Nor Ahmeed Fahd Abdullah menetapkan 17 November ini untuk mendengar laporan akhlak remaja itu daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.

Sementara menunggu hukuman, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Othman Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang budak perempuan berusia 9 tahun dicabul selain mengalami kecederaan akibat dipukul dengan kayu serta batu-bata selepas mengikuti seorang lelaki tidak dikenali.

Kejadian berlaku ketika kanak-kanak tersebut baru pulang dari kelas fardu ain di sebuah sekolah dekat sini. – Utusan