Remaja 17 tahun ditahan bersama kekasih, disyaki edar dadah – Bernama


Remaja 17 tahun ditahan bersama kekasih, disyaki edar dadah

2 Oktober 2012

KUANTAN – Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dan kekasihnya yang berusia 23 tahun, ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di sekitar daerah Temerloh.

Mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pukul 3 petang semalam, di Jalan Pintasan Perindustrian Mentakab.

Menurut pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood, pasangan terbabit ditahan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva dipercayai sedang menunggu pelanggan di kawasan itu.

Hasil pemeriksaan polis ke atas kereta berkenaan, mereka menemui satu beg sandang yang mengandungi 17 peket serbuk putih dan hijau disyaki dadah jenis heroin, seberat 219.9 gram, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

“Polis turut menemui tiga peket plastik yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 9.90 gram dan semua bahan terlarang itu dibawa masuk dari negeri jiran untuk pasaran di daerah ini,” katanya.

Zundin berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,280 dipercayai hasil kegiatan menjual dadah.

Lelaki berkenaan yang juga seorang duda dipercayai terbabit menjual dadah sejak beberapa bulan lepas setelah bercerai dengan isterinya, kata Zundin dan menambah pasangan itu baharu sahaja berpacaran.

Katanya pasangan terbabit direman selama dua minggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – Bernama