Remaja cedera ditembak semasa serang anggota UPP – Berita Harian


Remaja cedera ditembak semasa serang anggota UPP

2011/02/16

TUMPAT: Seorang remaja cedera parah setelah ditembak ketika beliau bersama sekumpulan lelaki menyerang empat anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di perkarangan Hospital Tumpat, di sini, hari ini.

Remaja berumur 19 tahun itu parah akibat terkena dua tembakan di bahagian rusuk kanannya dalam kejadian pada 9.20 pagi itu kerana menyangka saudaranya, Said Mat Hassan, 56, maut akibat dikasari anggota UPP berkenaan, kira-kira satu setengah jam sebelum itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata Said ditemui empat anggota UPP dalam sebuah kereta Kancil di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin di sini pada jam 7.45 pagi dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulutnya berbuih.Katanya, anggota UPP itu turut menemui 20 guni beras siam dalam kereta berkenaan.

“Melihat keadaan Said yang tenat, anggota UPP membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapat rawatan. Said disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, selepas menghantar Said ke hospital, anggota UPP itu pergi minum di sebuah kedai makan berdekatan hospital berkenaan dan tiba-tiba lima kenderaan dinaiki sekumpulan lelaki berhenti di hadapan mereka.

“Beberapa lelaki bersenjatakan cota terus meluru dan menyerang keempat-empat anggota UPP. Akibat serangan bertubi-tubi, salah seorang anggota UPP melepaskan satu das tembakan amaran ke udara,” katanya.
Beliau berkata, tembakan itu tidak diendahkan kumpulan itu dan anggota UPP itu terpaksa melepaskan lagi tembakan bagi melindungi diri dan mengenai remaja berkenaan.

“Remaja itu kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun dia terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Baharu kerana keadaannya yang parah.

“Keempat-empat anggota UPP yang cedera itu pula dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tumpat,” katanya.

Abdul Rahim berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dan siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ibu remaja terbabit yang ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu di sini berkata beliau terkejut apabila melihat anaknya rebah berlumuran darah akibat ditembak di depan matanya.

Katanya, ketika itu dia ke Hospital Tumpat untuk menziarahi jenazah Said. – BERNAMA