Jadilah teman rapat anak anda – Bernama


Jadilah teman rapat anak anda

31 Mei 2012

Rencana dua siri ini meninjau isu anak remaja dan permasalahannya dari sudut pandangan ahli psikologi. Ini adalah bahagian satu dari dua siri.

KUALA LUMPUR – Remaja lari dari rumah, remaja mengandung anak tidak sah taraf dan remaja terjebak dengan jenayah juvana. Apabila ini berlaku, jalan paling mudah ialah menyalahkan remaja ini dan melabelkan mereka sebagai anak yang tidak tahu untung dan hanya menyusahkan emak dan ayah.

Lebih malang lagi apabila ada anak remaja yang disifatkan sebagai bermasalah dihalau dari rumah sehingga terjebak dengan pelbagai kegiatan maksiat dan jenayah.

Paling ekstrim apabila ada remaja yang kecewa dengan hidup mereka, sama ada gagal dalam percintaan, peperiksaan atau merasakan diri mereka tidak disayangi ibu bapa dan mengambil jalan singkat membunuh diri.

Timbul konflik

Mungkin ramai ibu bapa menjadi gusar membaca pelbagai laporan negatif mengenai remaja lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai anak yang seumur dan sebaya.

Sesetengah ibu bapa mungkin bertindak mengawal pergerakan anak mereka bagi mengelakkan tercetusnya perkara yang tidak diingini.

Bagaimanapun, niat baik ibu bapa serta pendekatan yang digunakan ada kalanya mencetuskan konflik sehingga merenggangkan hubungan dengan anak sendiri.

“Fahami hati dan nurani anak anda dari awal. Jangan tunggu sampai anak membelakangkan ibu bapa dan mencari rakan apabila menghadapi masalah.

“Kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk bekerja sehingga tidak sedar mereka kadang kala mengabaikan tanggungjawab terhadap anak.

“Mereka mungkin fikir telah memberikan yang terbaik untuk anak, menghantar mereka ke sekolah, menyediakan segala keperluan dan kebendaan yang mencukupi.

“Bagaimanapun, ada perkara yang lebih penting iaitu sokongan emosi yang konsisten,” demikian menurut Sarada Devi R. Subramaniam, Pegawai Psikologi, Unit Kaunseling Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Jiwa remaja

Menurut Sarada, yang juga seorang kaunselor berdaftar, tempoh kritikal adalah dari usia 11 hingga 18 tahun di mana kebanyakan remaja masih dalam
peringkat persekolahan.

Jelasnya, dalam proses menjadi remaja (dari usia 13 hingga 24 tahun), anak itu akan mencari-cari identiti mereka yang berkemungkinan berpotensi mencetuskan pelbagai konflik dalaman dan luaran.

“Ketika inilah mereka akan merasai dan melalui pelbagai perubahan termasuk perubahan hormon serta kecelaruan identiti.

“Mereka akan tertanya-tanya siapakah diri mereka yang sebenarnya? Kenapa mereka tidak diterima oleh keluarga? Kenapa ibu bapa saya menentang saya?, ” kata Sarada.

Suka memberontak. Ini adalah satu daripada sikap remaja yang mungkin menghantui kebanyakan ibu bapa.

Sarada mengaitkan sikap memberontak ini kepada perubahan sistem pemikiran yang masih kurang matang dalam diri remaja.

Ia berkait rapat dengan ketidakseimbangan hormon dalam badan yang juga adalah sebahagian daripada proses pembesaran.

Menurut Sarada lagi ketika itu minda remaja sedang melalui proses kematangan.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak selalu menyalahkan anak apabila mereka melakukan sesuatu kesilapan.

“Amalkan sikap memaafkan dan berikan anak anda pengetahuan agama. Anak yang diberi pendidikan agama yang mendalam, mereka tidak ada peluang untuk melakukan perkara yang tidak senonoh.

“Komunikasi yang berkesan antara ibu bapa dan anak adalah penting. Ibu bapa perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama anak dengan melakukan aktiviti seperti bermain-main, bersiar-siar serta bersukan mengikut kesesuaian umur anak mereka,” tambah beliau.

Rasa terkongkong

Tanpa sokongan ibu bapa, remaja akan merasa diabaikan, tidak mendapat kasih sayang dan keadaan ini akan memberi ruang yang luas bagi anak mencari kawan termasuk rakan-rakan internet.

Sarada memberi contoh, ada anak yang lebih gemar menyendiri dan melayari Facebook.

“Mengapa? Sebab di rumah mereka tidak boleh bersuara, mereka rasa terkongkong.

Facebook memberi mereka ruang untuk bercakap apa sahaja, memberi pendapat dan sebagainya.

“Di hadapan anda mungkin mereka seorang individu introversi kurang bergaul, suka memendam perasaan tapi dalam Facebook mereka menjadi seorang yang ekstroversi, mereka boleh marah, boleh menyuarakan emosi terpendam. Oleh sebab itu kita lihat ramai remaja suka ber’Facebook’.

“Jikalau remaja banyak menghabiskan masa melayari internet, dan Facebook, persoalannya di sini ialah siapakah yang memberikan mereka masa sebegitu banyak untuk berbuat demikian? ” soal Sarada.

Kesibukan bekerja juga semakin menyukarkan ibu bapa memantau aktiviti online anak mereka, justeru mereka perlu mendidik anak mengenai etika serta risiko penggunaan internet supaya mereka boleh bertindak bijak melindungi diri sendiri.

Ibu bapa juga boleh membincangkan peraturan menggunakan internet dengan anak mereka, iaitu secara logik dan rasional bagi memastikan peraturan itu adalah untuk keselamatan mereka serta keluarga.

Menurut Sarada, ibu bapa juga boleh menggunakan perisian ‘Parental Control’ bagi mengelakkan masalah melayari internet tanpa kawalan.

Ibu bapa juga perlu tahu bahawa mendidik anak remaja adalah berbeza jika dibandingkan dengan kanak-kanak.

Pelbagai pengaruh

Ibu bapa sepatutnya menjadi ‘teman rapat’ anak, tempat mereka mencurahkan rasa isi hati di samping tempat bermanja dan menimba kasih sayang.

Sekiranya semasa kecil anak didodoi dan dibelai seperti menatang minyak yang penuh, namun apabila anak membesar, jurang antara ibu bapa dengan anak juga semakin luas.

Inilah keadaan yang dialami oleh sesetengah ibu bapa pada hari ini di mana anak lebih bergantung kepada rakan sekiranya berdepan dengan masalah.

“Kalau rakan membawa mereka ke jalan yang betul, tak mengapa tetapi kalau tidak dia akan terdedah kepada perkara yang dianggap tidak baik,” kata Sarada.

Beliau lantas merujuk kepada pelbagai isu remaja yang disiarkan dalam media massa seperti masalah sosial remaja yang semakin mencabar.

Oleh yang demikian, katanya, ibu bapa harus memberi keutamaan dan melihat sendiri perkembangan yang sedang dilalui oleh anak mereka.

Kenali anak

Jangan tunggu anak sudah remaja baru hendak mengenali anak! Ini pesanan Sarada.

Ibu bapa perlu mengenali anak mereka dari awal termasuk personaliti anak.

Lebih menyedihkan lagi kecelaruan dikaitkan dengan remaja yang sudah hilang pertimbangan diri.

Katanya, kecelaruan identiti di kalangan remaja mempunyai potensi yang tinggi untuk mereka terjebak ke kancah keruntuhan akhlak.

Tambahnya, dalam sesetengah kecelaruan identiti yang sedemikian, individu berkenaan mungkin pernah mengalami penderaan fizikal atau seksual semasa usia kanak-kanak.

Ini berdasarkan pengalaman kes yang dikendalikan beliau tetapi tidak boleh berkongsi kes secara lanjut demi menjaga kerahsian pelanggan mengikut etika kaunselor.

Apa yang boleh beliau katakan ialah pentingnya ibu bapa mengambil langkah positif untuk mengenali personaliti anak.

Emosi anak

Meskipun mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa, mereka juga perlu menyelami emosi anak mereka.

Menurut Sarada, keadaan akan menjadi kacau-bilau seandainya keluarga sering dilanda konflik di mana ia akan turut mempengaruhi personaliti remaja.

“Bagaimanapun, ia bukannya satu-satu faktor yang mendorong remaja melakukan perkara-perkara yang pada masa ini kita merasa begitu gementar sekali untuk memikirkannya.

“Daripada kita menuding jari dan menyatakan remaja itu bermasalah, baik kita menuding jari kepada diri kita sendiri sebagai ibu bapa dan memikirkan
tanggungjawab kita.

“Apakah kita sudah meneliti tanggungjawab kita di mana kita bukan sahaja sebagai pembimbing tetapi perlu juga peka terhadap perubahan psikologi anak,” tambahnya.

Ibu bapa, tegasnya bertanggungjawab terhadap perkembangan psikologi anak remaja mereka dan maklumat ini boleh dipelajari oleh semua ibu bapa selain memperolehinya daripada pegawai psikologi atau kaunselor.

Banyak maklumat

Kemajuan teknologi hari ini membolehkan ibu bapa mengakses pelbagai jenis maklumat.

Seperti kata Katherine Loo Saw Moay, seorang lagi Pegawai Psikologi LPPKN yang diwawancara Bernama, ibu bapa boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat mengenai remaja bagi membantu mereka memahami perubahan diri serta emosi.

“Apakah tuntutan perkembangan fizikal, sosial dan psikologi yang diperlukan oleh anak dari usia 0 hingga 6 tahun, apakah tanggungjawab ibu bapa terhadap anak ini?

“Umur dari 6 sehingga 12 tahun, apakah yang perlu diketahui oleh ibu bapa untuk peringkat umur anak itu?

“Dari peringkat awal remaja yang berumur 13 tahun hingga ke tahap akhir remaja, apakah maklumat penting yang perlu diketahui oleh ibu bapa dalam proses memahami perkembangan anak mereka?

“Semua maklumat ini boleh didapati dengan mudah melalui internet. Ibu bapa juga perlu banyak membaca bagi menambahkan ilmu serta mendapatkan sokongan daripada kawan untuk berkongsi serta berbincang berkaitan perkara ini,” tambah Katherine yang berkhidmat sebagai kaunselor berdaftar selama kira-kira lapan tahun.

Jumpa kaunselor

Bagaimanapun, bagi ibu bapa yang mungkin sudah kehilangan punca dalam menangani karenah anak mereka khususnya remaja boleh berjumpa dengan kaunselor dan amat digalakkan mengunakan Kafe@TEEN pusat remaja di LPPKN.

“Pihak kami bersedia memberikan sokongan dan bimbingan kaunseling untuk remaja dan Ibu bapa.

“Secara keseluruhan LPPKN mempunyai seramai 18 pegawai kaunselor berdaftar yang tetap serta 78 panel kaunselor berdaftar di seluruh negara,” kata Katherine.

Bagaimanapun, beliau mengakui berjumpa dengan kaunselor bukan satu budaya masyarakat negara ini berbanding di Barat.

Tambahnya, stigma yang masih menebal di kalangan masyarakat tempatan ialah orang yang bermasalah sahaja yang berjumpa dengan kaunselor.

“Orang kita juga bukan lazimnya mencari kaunselor jika anak mereka mempunyai masalah disiplin,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berpendapat masyarakat di negara ini terutama ibu bapa perlu dididik bahawa kaunseling bukan hanya untuk mereka yang bermasalah.

“Kaunseling adalah lebih kepada luahan isi hati, rundingan dan perbincangan.

Ibu bapa perlu meluangkan masa untuk mendapatkan perkhidmatan ini.

“Kalau mereka kata mereka tidak mempunyai masa, itu pilihan sendiri. Kita sudah bersedia di sini untuk membantu.

“Kita tidak boleh kejar atau paksa mereka dan merayu mereka datang. Khidmat kaunseling adalah secara sukarela, jika mereka sudi datang sendiri, ini bermakna mereka telah bersedia menghadapi situasi dan mencari penyelesaian,” kata Katherine.

Pasangan bermasalah

Mengenai kes yang dikendalikan Unit Kaunseling Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga LPPKN, Katherine berkata ia lebih kepada pasangan yang menghadapi konflik rumahtangga yang berpanjangan.

Menurut beliau, mereka datang selepas membuat temu janji atau dirujuk oleh pihak agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Pasangan itu adalah yang sudah berkahwin dan mungkin dalam proses perceraian, dan kebanyakannya berusia lingkungan 30-an.

“Pihak kami juga memfokuskan kepada keluarga kerana apa jua konflik sering berpunca dari keluarga,” celah Sarada yang pernah berkhidmat di sektor swasta dan badan bukan kerajaan sebelum menyertai LPPKN.

Usaha LPPKN

Di samping urusan kaunseling di pejabat, Unit Kaunseling Keluarga LPPKN juga giat menjalankan program ‘outreach’ iaitu kembara kaunseling di seluruh Malaysia.

Program ini diadakan empat hingga lima kali sebulan di peringkat negeri.

Antara matlamat program adalah untuk memperkenalkan khidmat kaunseling di samping mendedahkan orang ramai berkongsi masalah bersama kaunselor dengan lebih sukarela.

Mereka yang tampil berjumpa dengan kaunselor LPPKN ini akan turut diberi ujian semakan stres dan ujian personaliti.

Untuk remaja, pendekatan yang berbeza dijalankan bagi menarik minat mereka berkongsi masalah dengan kaunselor.

“Kita berbincang dan berdialog dengan mereka, umpamanya mengenai topik cinta. Maka setiap kes pelanggan adalah unik dan kita akan mengendalikannya dengan teliti berlandaskan kepada Kod Etika Kaunselor Lembaga Kaunselor (Malaysia), kerahsian pelanggan sentiasa dijaga,” jelas Sarada.- Bernama