Remaja dibuang sekolah ugut pelajar serah wang – Harian Metro


Remaja dibuang sekolah ugut pelajar serah wang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang sudah dibuang sekolah kerana masalah disiplin dikesan menjadikan pelajar di kalangan bekas rakan sekolahnya sebagai sasaran ugutan bagi mendapatkan wang mudah.

Difahamkan, remaja lelaki berkenaan dikatakan sering berkeliaran di depan sebuah sekolah, di sini setiap kali tamat waktu persekolahan.
Dalam kejadian terbaru Jumaat lalu di hadapan sekolah berkenaan, remaja terbabit mengugut dua pelajar lelaki berusia 13 tahun supaya menyerahkan wang tunai dan barangan berharga. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan remaja terbabit naik angin dan mengugut akan mengganggu mereka lagi.

 

Menurut sumber, ketika kedua-dua remaja terbabit sedang melayari Internet di sebuah pusat Internet berhampiran sekolah beberapa jam kemudian remaja berkenaan sekali lagi menemui mangsa.
“Remaja itu mengugut akan mencederakan mereka menyebabkan mangsa yang ketakutan menyerahkan wang tunai RM20 dan jam tangan masing-masing,” katanya.
Sumber berkata, sebaik pulang ke rumah, salah seorang mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada ibu bapanya.

 

 

Bapa mangsa yang bimbang keselamatan anak lelakinya itu kemudian membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.