Remaja dijel lima tahun rogol sepupu – Sinar Harian


Remaja dijel lima tahun rogol sepupu

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 November 2012

SEREMBAN – Seorang remaja berusia 19 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas kesalahan merogol sepupunya, tahun ini.

Tertuduh mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan malah kelihatan tenang semasa mendengar keputusan oleh Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol sepupunya berusia 12 tahun empat bulan di kawasan semak berhampiran Taman Angsa Mas, Mambau, pada petang antara 3 Februari hingga 17 Februari 2012.

Sementara pertuduhan kedua, tertuduh sekali lagi didakwa merogol mangsa di lokasi dan waktu yang sama pada 6 Julai 2012.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dirogol sebanyak lima kali pada pertengahan Februari. Manakala pada Julai, tertuduh menjemput mangsa di asrama dengan menaiki motosikal sebelum memberhentikan kenderaan berhampiran semak untuk merogol mangsa sebanyak dua kali.

Justeru, satu laporan polis dibuat oleh kakak angkat mangsa pada 5 Ogos 2012 selepas mengetahui kejadian daripada mangsa. Selain itu, mangsa sendiri turut membuat laporan polis pada 23 Ogos 2012.