Remaja dipukul sekumpulan lelaki – Sinar Harian


Remaja dipukul sekumpulan lelaki

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Februari 2013
Remaja dipukul sekumpulan lelaki
Bapa mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kuala Kurau, Ahad lalu.

KERIAN – Rehat seorang remaja sambil menikmati angin malam bersama tiga rakannya bertukar tragedi apabila dibelasah sekumpulan remaja bermotosikal yang datang ke arahnya secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab di Taman Kurau Aman di sini, Ahad lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali Zul, 17, berkata, sewaktu kejadian jam 11 malam, tiga ahli kumpulan terbabit bertindak menahan tiga rakannya, manakala dia dibelasah teruk lebih tujuh ahli kumpulan berkenaan tanpa belas kasihan.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa menahan sakit kerana dibelasah di seluruh badan. Setelah hampir lima minit saya dibelasah, kesemua ahli kumpulan berkenaan bertindak melarikan diri dan melepaskan tiga lagi rakan saya yang ditahan.

“Mujurlah saya tidak alami luka teruk, hanya calar dan lebam di anggota badan,” katanya kepada media di sini, semalam.

Susulan kejadian itu, Zul segera memaklumkan kepada ahli keluarga dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Kurau pada jam 12 tengah malam hari kejadian.

Menurutnya, sewaktu kumpulan terbabit melarikan diri, dia sempat merakamkan nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki seorang ahli kumpulan itu.

“Saya harap polis dapat menyiasat motif mereka membelasah saya dan segera menyelesaikan kes ini kerana kini saya takut serta trauma untuk keluar rumah,” katanya.