Remaja diserang sawan ditemui lemas – Bernama


Remaja diserang sawan ditemui lemas

2 Januari 2013

SETIU – Seorang remaja lelaki ditemui lemas di kawasan ladang kelapa sawit, Jalan Kampung Bukit-Kampung Las, Sungai Tong di sini semalam dikatakan akibat diserang sawan ketika menunggang motosikal.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu Muhamad Shahrin Shafie, 16, terbabas ke dalam sebuah lopak setelah diserang penyakit itu.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abd Rahman Raja Mohamad berkata beberapa penduduk kampung yang melalui kawasan itu tidak lama kemudian ternampak motosikal mangsa terbenam dalam lopak yang terbentuk selepas hujan lebat.

Berdasarkan nombor plet motosikal, penduduk kampung memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa.

Penduduk kampung kemudian menjalankan operasi mencari di lokasi kejadian sebelum menemui mangsa terbenam di dasar lopak berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa diserang sawan ketika menunggang motosikal…menyebabkan dia terbabas lalu terjatuh ke dalam lopak air,” kata Abd Rahman kepada pemberita di sini hari ini.

Hasil laporan bedah siasat di Hospital Setiu menunjukkan mangsa mati akibat lemas.  – Bernama