Remaja lari dari rumah perlindungan – Sinar Harian


Remaja lari dari rumah perlindungan

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Oktober 2012
lari dari rumah perlindungan
Keempat-empat remaja yang melarikan diri dari rumah perlindungan mendapat pertolongan dari bapa angkat salah seorang remaja itu.

BATU PAHAT – Empat remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun mendakwa menerima layanan buruk ketika ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Negeri Sembilan, sehingga bertindak melarikan diri 8 Oktober lalu.

Pada hari berkenaan, mereka sanggup berjalan kaki hampir 20 kilometer sebelum menumpang sebuah kenderaan.

Setibanya di Melaka kira-kira jam 4 petang, salah seorang daripada mereka kemudiannya menghubungi bapa angkatnya untuk menjemput mereka.

“Bapa angkat saya tiba pada jam 7 malam dan membawa kami pulang ke rumahnya.

“Kami tidak mahu pulang ke rumah tersebut walaupun bapa angkat memujuk ketika itu,” kata salah seorang remaja berkenaan.

Kumpulan empat remaja ini mendakwa tidak tahan dengan layanan yang diberikan oleh kakitangan di rumah perlindungan itu.

“Bukan sengaja kami melarikan diri, tetapi layanan buruk daripada kakitangan pusat perlindungan itu menyebabkan kami berempat tidak tahan lagi untuk tinggal di situ.

“Ada sahaja yang tidak kena sehingga perbuatan kasar itu menjadi rutin harian ,” katanya ketika ditemui di rumah bapa angkatnya di Kampung Parit Bengkok, Semerah, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, bapa angkat kepada salah seorang remaja itu, Mohd Yusof Othman, 51, berkata, dia berasa kesal sekiranya benar dakwaan yang dibuat oleh anak angkatnya itu.

“Saya sudah maklumkan kejadian ini kepada rumah perlindungan itu, namun pihak pengurusannya mahu saya menghantar mereka ke sana semula atau mengancam akan membuat laporan polis terhadap saya atas tuduhan melarikan remaja berkenaan.

“Saya tumpangkan keempat- empat remaja ini kerana risaukan keselamatan mereka, niat saya hanyalah untuk membantu, katanya.

Sementara itu, jurucakap rumah perlindungan berkenaan ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum dengan kejadian tersebut.

“Kami sedang jalankan siasatan berkaitan kes itu dan pihak kami tidak boleh mengulas lanjut,” katanya.