Remaja lelaki maut ditetak – Sinar Harian


Remaja lelaki maut ditetak

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
7 April 2012
remaja-maut

SHAH ALAM – Seorang pelajar lelaki tingkatan lima maut ditikam selepas pulang membeli burger dalam kejadian di tapak letak kereta di Apartmen Adora, Seksyen 25, semalam.

Mayat mangsa, R Teeneshe, 17, ditemui penduduk setempat kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa maut selepas ditikam di badan dengan senjata tajam dipercayai pemutar skru.

“Mayatnya ditemui lengkap berpakaian dan terbaring berhampiran kereta.

“Kita percaya mangsa dibunuh di situ berdasarkan kesan darah yang masih baru,” katanya, semalam.

Beliau berkata, mangsa tinggal di kawasan berdekatan bersama neneknya dan bersekolah di Klang.

“Kita sedang menyiasat motif sebenar mangsa dibunuh,” katanya.

Zahedi berkata, siasatan Unit Forensik tidak menemui senjata digunakan dalam pembunuhan tersebut.

Katanya, beliau percaya lebih daripada seorang penjenayah terlibat dalam kejadian tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.