Remaja mati lemas di Teluk Bahang – Bernama


Remaja mati lemas di Teluk Bahang
2012/06/07

GEORGETOWN: Seorang remaja lelaki mati lemas selepas ditarik ombak kuat ketika berehat di tepi Pantai Kerachut Teluk Bahang dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa Muaz Munawir, 16, dikatakan berehat bersama beberapa rakannya selepas mengikuti aktiviti merentas hutan anjuran Kelab Ikmar Teens yang bermula semalam.
Pengarah program, Mohd Hafiz Abdul Hamid berkata, ketika itu keadaan laut agak bergelora dan ombak tinggi tiba-tiba datang dan menarik mangsa hingga ke tengah laut.
“Muaz terus hilang dari pandangan kami, selepas setengah jam baru kami jumpa mayatnya terapung tidak jauh dari kawasan pantai,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Hafiz berkata, program kem bina diri itu dijadual berakhir esok melibatkan 105 remaja dari seluruh Malaysia.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Balik Pulau untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke kampung halamannya di Muar, Johor. – BERNAMA