Remaja maut dilanggar lori – Sinar Harian


Remaja maut dilanggar lori

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
5 April 2013
Remaja maut dilanggar lori
Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan semasa menunggu hasil keputusan bedah siasat.

ALOR SETAR – Niat seorang remaja perempuan untuk menghantar adik bongsunya ke sekolah tidak kesampaian apabila maut dilanggar sebuah lori muatan berat di Kampung Syed Ahmad, Pendang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, mangsa, Nor Hasnita Abu Hasan, 18, dari Risda Bukit Perak, Pendang, dilanggar sebuah lori yang datang dari arah bertentangan ketika cubaan mengelak sebatang pokok tumbang atas jalan.

Nor Hasnita yang menunggang motosikal Honda Wave Dash dari arah Sik menghala ke Sungai Tiang meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara adik bongsunya, Mohd Afiq Izani Abu Hasan, 13, yang membonceng motosikal berkenaan mengalami kecederaan ringan.

Menurut sumber, akibat rempuhan kuat itu, Mohd Afiq yang lengkap berpakaian sekolah tercampak 10 meter ke belakang dari tempat kejadian.

Ibu mangsa, Rosni Zainul, 52, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan atau tanda-tanda dia akan pergi buat selamanya.

“Hari-hari dia hantar adik. Pukul 6.40 pagi macam tu dia dah keluar rumah. Dia tak berubah apa, cuma adik yang berubah. Dia lambai tangan sambil menyebut ‘bye bye’ kat mak.. dah pi jauh pun lambai lagi.

“Lepas tu, dia teringin nak minum teh ais pagi-pagi lagi. Kalau tak, sebelum ni tak pernah minta,” katanya.

Rosni berkata, anaknya itu juga mempunyai impian dan cita-cita tinggi untuk mengikut jejak langkah kakak sulungnya, Haniza Abu Hasan, 22, yang telah melanjutkan pelajaran di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Selangor.

“Dia cerita nak ambil kursus melancong. Hari-hari dia berangan nak pi luar negara kalau boleh. Mak cik selalu gurau macam tu la dengan dia,” katanya.

Mangsa yang mendapat keputusan agak baik  4A, 3B dan 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini juga akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Pelancongan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perak pada awal bulan Jun nanti.

Menurutnya, mayat mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Syed Ahmad, semalam.