Remaja maut dirempuh kereta – Sinar Harian


Remaja maut dirempuh kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 September 2012

KUANTAN – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangi bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum dirempuh kereta di Jalan Tanjung Pasir- Bukit Goh berhampiran Pasar Raya Jaya Gading, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.55 malam itu, mangsa, Muhamad Firdaus Razali, 16 dari Kampung Datuk Abdul Aziz, Bukit Goh mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi penunggang cedera ringan manakala pemandu kereta, seorang wanita  berusia 26 tahun yang juga penyelia sebuah asrama tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Tanjung Pasir menghala ke Bukit Goh.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego ditunggangi seorang lelaki.

“Akibat pergeseran itu, motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu dirempuh kereta yang berada di laluan tersebut,” katanya di sini, semalam.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat manakala penunggang yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

Remaja maut dirempuh kereta – Metro


Remaja maut dirempuh kereta

 

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

 

KELUARGA Mohd. Faris Poh ditenangkan oleh orang ramai selepas remaja itu maut setelah terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Temu, Melaka semalam.

 

MELAKA – Seorang ibu tidak menyangka anak lelakinya yang tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu menemui ajal dalam kemalangan ngeri apabila motosikal ditunggangi anaknya itu dirempuh sebuah kereta dan bas di Jalan Padang Temu, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.55 pagi itu, mangsa, Mohd. Faris Poh Muhammad Fauzi Poh, 15, (gambar) ketika itu baru keluar dari sebuah kedai makan di kiri jalan tersebut.

Jurucakap polis memberitahu, sebaik sahaja mangsa keluar ke jalan raya dari arah lampu isyarat Alai menghala ke arah lampu isyarat Padang Temu, tiba-tiba dia dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah sama.

“Akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting ke laluan bertentangan sebelum dilanggar pula sebuah bas yang datang dari arah bertentangan.

“Ekoran kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala,” kata jurucakap polis itu.