Remaja maut motosikal bertembung kereta – Utusan


Remaja maut motosikal bertembung kereta

KUANTAN 13 Mei – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira di Km28 Jalan Temerloh-Bandar Jengka dekat Maran pagi tadi.

Sheikh Mohd Farid Sheikh Zulkifli, 17, yang bekerja sendiri dan menetap di Felda Jengka meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan dalam kemalangan 1.20 pagi itu.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, ketika itu mangsa datang dari arah Bandar Jengka menuju Temerloh.

“Mangsa dipercayai memotong sebuah lagi motosikal sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta terbabit.

“Pemandu kereta berkenaan, Zool Amali Zainal Abidin, 39, dan penunggang sebuah lagi motosikal itu, Muhamad Shazwan, 18, yang turut terbabit dalam kemalangan, hanya cedera ringan,” katanya di sini hari ini.

Mohamed Fauzi berkata, siasatan awal turut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130513/je_08/Remaja-maut-motosikal-bertembung-kereta#ixzz2TB3Gx1RL
© Utusan Melayu (M) Bhd