Remaja maut rempuh lembu – Metro


Remaja maut rempuh lembu
ARAU: “Arwah tiba-tiba berubah menjadi pendiam sejak kebelakangan ini, malah saya tidak akan membenarkannya menunggang motosikal jika mengetahui dia mahu pergi makan hingga ke Changlun pada waktu awal pagi.”

Begitu kata Mohamad Zahir Kadir, 39, bapa kepada Muhammad Arsyad Mohamad Zahir, 16, yang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sekumpulan lembu di Lebuh raya Kuala Perlis-Changlun berhampiran pintu gerbang sempadan Perlis-Kedah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa dari Kampung Padang Besar (Utara) mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dua rakan mangsa, Norazam Che Azizul, 20, dan Amir Sabirin Ahmad, 21, turut cedera parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan kritikal.
Mohamad Zahir yang berniaga sendiri, berkata dia tidak menyedari hasrat anak kedua daripada empat beradik itu mahu pergi makan di sebuah restoran di Changlun dengan menunggang motosikal secara konvoi bersama rakannya.
Menurutnya, ini kerana arwah sebelum ini tidak pernah keluar rumah lewat malam atau awal pagi, sebaliknya akan pulang seperti biasa jika berjumpa rakan.

“Saya langsung tidak tahu hasratnya dan rakan-rakan mahu pergi hingga ke Changlun kerana jika saya tahu memang tidak membenarkannya pergi.
“Mereka pergi berkumpulan dan ketika tiba di tempat kejadian yang agak gelap, anak saya dan tiga rakannya dikatakan tidak menyedari kemunculan sekumpulan lembu melintas sebelum terus merempuh haiwan itu.

“Rakan arwah yang lain sudah mendahuluinya dan tidak menyedari ketiga-tiga rakan mereka terbabit kemalangan sebelum berpatah balik apabila menunggu agak lama tetapi masih tidak muncul,” kata ketika ditemui di Bilik Mayat HTF, di sini.
Mohamad Zahir berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakan arwah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.