Remaja putus jari dapat RM27,500 – Utusan Malaysia


Remaja putus jari dapat RM27,500

 

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

 

ZURAIZA Omar menunjukkan jari telunjuk kiri Muhammad Shaeidil Amir yang sudah pulih setelah terputus akibat memotong kelapa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah semalam. – UTUSAN/Ahmad Syahir Kassim

 

ALOR SETAR 21 Jun – Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dan tiga yang lain bersetuju membayar ganti rugi berjumlah RM27,500 kepada seorang remaja berusia 15 tahun, setelah didakwa cuai membuang sebahagian jari remaja itu yang terputus semasa mengopek kelapa, empat tahun lalu.

Keempat-empat defendan itu bersetuju membayar ganti rugi tersebut dan kos kepada Muhammad Shaeidil Amir selaku plaintif yang diwakili peguam Simon Murali, sebagai penyelesaian kes saman tersebut di luar mahkamah.

“Kedua-dua pihak telah bersetuju dengan perkara ini dan kami tidak ada sebarang tuntutan lain serta ingin mahkamah mengesahkan perkara ini,” kata Simon di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Maznah Abdul Aziz kemudian merekodkan persetujuan antara kedua-dua pihak terbabit.

Muhammad Shaeidil hadir di mahkamah bersama ibunya, Zuraiza Omar, 39, manakala pihak defendan diwakili oleh Peguam Persekutuan, Adlina Nujumudin.

Dalam saman tersebut, plaintif menamakan Ketua Pengarah Pertahanan Awam, JPA3, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (kini Kementerian Dalam Negeri) dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.

Mengikut pernyataan tuntutan plaintif, pada 2 November 2007 Muhammad Shaeidil telah mengalami kemalangan di rumahnya di Kampung Batu Menunggol, Mukim Air Putih, Pendang sehingga menyebabkan sebahagian daripada jari telunjuk kirinya terputus.

Dakwa plaintif, ibunya sempat mengambil bahagian jari yang terputus itu lalu dimasukkan ke dalam beg plastik berisi ais dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan.

Sementara menunggu untuk dirawat doktor, ibunya telah menyerahkan beg plastik berisi jari Muhammad Shaeidil kepada seorang anggota JPA3 yang bertugas di bahagian kecemasan hospital itu.

Malangnya, anggota JPA3 itu tanpa memberi sebarang sebab telah mengambil bahagian jari yang terputus tersebut lalu dibuang ke dalam mangkuk tandas.

Plaintif kemudian dirawat oleh doktor tetapi bahagian jari tersebut tidak diserahkan atau diberikan kepada doktor dan tiada sebarang langkah diambil atau sekurang-kurangnya percubaan dibuat untuk mencantumkan bahagian jari telunjuk kiri remaja itu.

Plaintif mendakwa, tindakan anggota JPA3 itu membuang jarinya ke dalam mangkuk tandas dibuat tanpa menghiraukan perasaannya.

Ekoran daripada perbuatan tidak sensitif anggota JPA3 itu, plaintif mendakwa mengalami kekecewaan, kesedihan dan penderitaan emosi.