Remaja direman bantu siasatan kematian anggota polis – Bernama


Remaja direman bantu siasatan kematian anggota polis

 

MELAKA 24 Sept. – Seorang remaja berusia 17 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang anggota polis dipercayai dipukul dengan batu, semalam.

Perintah reman terhadap remaja yang tidak lagi bersekolah dan menganggur itu, dibenarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rendah, V.Kanasan, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Pada kejadian kira-kira 8 pagi semalam, Kpl Zal-Azri Abdul Somad, 31, dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, cedera di kepala dan muka dipercayai dipukul dengan batu dan mati, setelah bergelut dengan suspek di tempat kejadian, di Taman Teknologi Cheng di sini.

Suspek yang melarikan diri selepas pergelutan itu, ditahan di,Krubong di sini, pada pukul 10.50 pagi semalam. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130924/je_11/Remaja-direman-bantu-siasatan-kematian-anggota-polis#ixzz2fnxSAELZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar cabul wanita di stesen LRT – Metro


Pelajar cabul wanita di stesen LRT

 17  1 Google +1  0  0

Kuala Lumpur: Mereka masih remaja, namun bertindak berani mencabul seorang wanita berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati, di sini, walaupun ketika itu masih lengkap berpakaian sekolah.

Malah, mangsa berusia 29 tahun cuba memarahi mereka kerana perbuatan terbabit turut tidak diendahkan sebaliknya mereka bertindak memeluk dan mencium mangsa sebelum melarikan diri.
Wanita terbabit yang terkejut dengan perbuatan remaja itu kemudian bertindak membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, Jumaat lalu.

 

Sumber berkata, mangsa pada mulanya berjalan berseorangan menuju ke stesen berkenaan kira-kira jam 12.20 tengah hari sebelum terserempak dengan dua remaja lengkap berpakaian sekolah, namun tidak mengendahkannya dan meneruskan perjalanan.
“Bagaimanapun, selepas beberapa meter, mangsa tiba-tiba menjerit selepas bahagian belakang badannya diraba dan sebaik menoleh dia terkejut apabila melihat kedua-dua remaja itu berada di belakangnya.
“Malah belum sempat dia berbuat apa-apa, mereka terus meramas buah dadanya menyebabkan mangsa sekali lagi terkejut dan terus menolak serta memarahi mereka,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/03

Sewa pistol: Lelaki, remaja 15 tahun diberkas – Kosmo


Sewa pistol: Lelaki, remaja 15 tahun diberkas

 

JALALUDDIN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pistol dan peluru yang dirampas daripada dua lelaki pada sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

 

KOTA BHARU – Polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes tembak yang berlaku di sekitar negeri ini apabila berjaya menahan dua tauke pistol yang didapati mengedar dan menyewakan senjata api kepada penjenayah untuk melakukan onar termasuk membunuh.

Remaja berusia 15 tahun dan lelaki berumur 29 tahun ditahan pada pukul 3 pagi semalam di sebuah rumah di Bunut Susu, Pasir Mas selepas polis menerima maklumat mengenai kegiatan kedua-dua suspek berbahaya berkenaan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2Zj8BYD4X
Hakcipta terpelihara

Samseng sekolah gagal rekrut ahli – Metro


Samseng sekolah gagal rekrut ahli

 4  2 Google +0  0  0

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bukan saja ditoreh dengan pisau di leher dan tangannya, malah seluarnya turut dilondehkan dua rakan sekolahnya angkara enggan menjadi ahli ‘geng’ kongsi gelap.

Difahamkan, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Damansara, di sini, diugut akan dicederakan selepas tindakannya melaporkan perkara itu kepada guru disiplin sekolah berkenaan.
Berikutan itu mangsa menceritakan kejadian itu kepada keluarganya.

 

Bapa mangsa berusia 40-an yang bimbang keselamatan anaknya itu tampil membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara, di sini, kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, sumber berkata, ketika remaja lelaki terbabit berada di sekolahnya kira-kira jam 8 pagi Rabu lalu, mangsa bertembung dengan dua rakan sekolahnya yang secara tiba-tiba menghalangnya.
“Dua remaja terbabit bertindak memaksa mangsa menyertai satu kumpulan dan menjadi ahli geng berkenaan. Mereka turut mendakwa mereka adalah ahli geng sama.

 

“Mangsa bagaimanapun enggan berbuat demikian menyebabkan kedua-dua mereka marah lalu mengeluarkan pisau dan meletakkan di leher mangsa,” katanya.
Sumber berkata, dua pelajar itu bukan saja menakutkan mangsa dengan menoreh leher mangsa, malah turut menoreh tangan kanan mangsa hingga meninggalkan kesan.

 

“Mangsa yang ketakutan melaporkan kejadian berkenaan kepada guru disiplin. Dua remaja itu kemudian dipanggil dan diberi amaran agar tidak berbuat demikian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Helah ambil ubat elak amukan bapa – Metro


Helah ambil ubat elak amukan bapa

 1518  78 Google +4  3  0

Oleh Alias Abd Rani

Sibu: Helah seorang remaja berusia 17 tahun meminta bapa mengambil ubat menyelamatkannya daripada menjadi mangsa lelaki itu yang sebelum itu bertindak kejam membunuh dua adik serta ibunya di rumah mereka di Pulau Li Hua di sini, pagi semalam.

Ketika itu, si bapa sudah menekan batang buluh ke leher anak sulungnya itu.

Remaja terbabit yang hampir menjadi mangsa keempat bapanya, terjaga daripada tidur apabila terasa batang buluh di leher dalam kejadian jam 10 pagi semalam.

Dia bagaimanapun bernasib baik apabila suspek seperti akur dengan permintaannya untuk keluar dari bilik untuk mengambil ubatnya.

FotoSUSPEK

Berikutan itu, remaja berkenaan mengambil kesempatan keluar melalui balkoni untuk berjalan di atas bumbung rumah berkembar itu sebelum terjun ke atas garaj kereta dan mendapatkan bantuan jiran yang kemudian menghubungi polis.

4 hari ditawan kekasih jahanam – Metro


4 hari ditawan kekasih jahanam

 1378  52 Google +3  1  0

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Mereka baru kenal, tetapi kerana terlalu mengikut rasa hati, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun akhirnya melalui hari gelap dalam hidupnya apabila menjadi hamba seks kekasih dan dua lagi lelaki ketika dikurung selama empat hari.

Dalam kejadian 28 Mei lalu, remaja berkenaan diajak teman lelaki baru dikenali berusia 20-an itu keluar bersiar-siar di ibu negara. Lelaki itu beriya-iya memujuk teman wanitanya itu bersiar-siar dan berjanji akan menghantarnya pulang ke rumah di Cheras selepas itu.
Bagaimanapun, menurut sumber, selepas menjemput mangsa pada jam 5 petang, lelaki terbabit mula mencari helah kononnya mahu berehat dan membawa remaja itu ke rumah sewanya di Pantai Dalam, di sini. Katanya, mangsa tidak mengesyaki akan berlaku perkara buruk kerana dua rakan lelaki terbabit ada bersama dalam rumah berkenaan.

 

“Sebaik duduk di ruang tamu, mangsa diajak lelaki itu melakukan hubungan seks dalam bilik. Namun, mangsa menolak pelawaan berkenaan menyebabkan lelaki terbabit tidak puas hati lalu menarik mangsa masuk ke dalam biliknya.
“Mangsa mendakwa diperkosa lelaki itu sebelum dia dikurung dalam bilik berkenaan,” katanya yang memberitahu mangsa kini trauma dengan tragedi hitam itu.
Sumber berkata, lebih malang apabila mangsa turut diperkosa dua rakan serumah lelaki itu secara bergilir-gilir.

 

Menurutnya, tidak tahan dijadikan mangsa pemuas nafsu, mangsa berikhtiar pelbagai cara untuk lolos dan akhirnya berjaya melarikan diri selepas empat hari dikurung teman lelakinya itu.
Difahamkan, mangsa melarikan diri sebelum menaiki teksi untuk pulang ke rumahnya dalam keadaan trauma, namun takut menceritakan apa yang berlaku kepada keluarganya.

 

Sumber memberitahu, mangsa hanya menceritakan kejadian itu kelmarin selepas dipujuk keluarga yang menyedari perubahan sikapnya dan dia kemudian dibawa membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

Video pelajar dibelasah tersebar – Sinar Harian


Video pelajar dibelasah tersebar

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Jun 2013
Video pelajar dibelasah tersebar
Video terbabit dimuat turun dalam laman sosial sejak April lalu

BALING – Sebuah rakaman video memaparkan seorang remaja dibelasah oleh seorang lelaki dewasa yang didakwa berlaku di sebuah sekolah agama di sini mula tersebar di laman sosial.

Sebuah blog mendakwa lelaki dewasa itu merupakan seorang guru, manakala remaja itu merupakan pelajar di sekolah terbabit.

Video berdurasi 1.05 minit itu menunjukkan remaja terbabit ditampar, ditumbuk malah ditendang ala tomoi oleh lelaki dewasa terbabit.

Rakaman itu mula di muat turun dalam laman sosial sejak April lalu dan mendapat banyak kritikan daripada pengguna laman sosial.

Berdasarkan rakaman itu, remaja terbabit ditampar sekali di muka, ditumbuk di perut dan turut ditendang menggunakan lutut di perut.

Rakaman itu jelas menunjukkan remaja terbabit berada dalam kesakitan bagaimanapun, lelaki terbabit terus membelasah remaja terbabit tanpa belas kasihan.

Rakaman awal turut menunjukkan terdapat beberapa remaja yang berada dalam barisan berdekatan tempat kejadian, bagaimanapun, mereka seolah-olah tidak berani untuk mempertahankan mangsa.

Bagaimanapun, Jurucakap Polis Daerah Baling mengesahkan pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian berkenaan.

Pihak polis turut berharap pihak berkenaan dapat tampil membuat laporan polis bagi membolehkan pihaknya melakukan siasatan.

Bapa tekap senduk panas – Metro


Bapa tekap senduk panas

 591  25 Google +0  1  0

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Selepas setahun menahan derita didera bapa, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun akhirnya tidak lagi mampu menanggung sengsara dan nekad lari dari rumah untuk membuat laporan polis.

Keputusan itu dibuat selepas mukanya ditekap dengan senduk panas kelmarin, selain kedua-dua kaki dan seluruh badan disebat menggunakan besi di rumah mereka di Taman Sri Segambut, di sini.
Remaja terbabit berjaya meloloskan diri melalui tingkap biarpun dikurung dalam bilik oleh bapanya berusia 46 tahun yang naik angin apabila mendapat tahu mangsa menceritakan kisah penderaan itu kepada bapa saudara.

 

Menurut sumber, suspek dipercayai sering memukul anak perempuannya itu biarpun mangsa tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Remaja terbabit kemudian mengadu kekejaman suspek kepada bapa saudaranya menyebabkan si bapa bertambah marah. “Mangsa ketika itu sedang tidur di bilik sebelum dikejutkan bapanya yang kemudian mengarahkan remaja itu menyerahkan telefon bimbitnya.
“Selepas merampas telefon bimbit anaknya, suspek menekap senduk panas pada pipi kiri mangsa sebelum merotannya menggunakan besi. “Bukan saja kedua-dua kaki mangsa, malah seluruh badannya turut disebat menyebabkan remaja berkenaan hanya mampu menangis meminta simpati,” katanya.

 

Difahamkan, remaja berkenaan tinggal bersama bapanya selepas kematian ibu, setahun lalu.
Sumber itu berkata, selepas memukul mangsa lebih 10 minit, suspek mengurung anaknya itu di bilik.

 

“Remaja terbabit bagaimanapun berjaya meloloskan diri melalui tingkap sebelum membuat laporan di balai polis Jinjang jam 5 pagi,” katanya.
Sumber berkata, mangsa seterusnya dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan akibat melecur di muka dan berbirat di kaki dan badan. Difahamkan, remaja terbabit kini berlindung di rumah neneknya manakala suspek masih belum ditahan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

PELANTIKAN PEGAWAI TEKNIKAL BAGI PERKHEMAHAN TUNAS KADET REMAJA SEKOLAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2013


PELANTIKAN PEGAWAI TEKNIKAL BAGI PERKHEMAHAN TUNAS KADET REMAJA SEKOLAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2013

09 April 2013

Muat Turun
PELANTIKAN PEGAWAI TEKNIKAL BAGI PERKHEMAHAN TUNAS KADET REMAJA SEKOLAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2013
PELANTIKAN PEGAWAI TEKNIKAL BAGI PERKHEMAHAN TUNAS KADET REMAJA SEKOLAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2013

Remaja, kanak-kanak cedera diserang anjing – Sinar Harian


Remaja, kanak-kanak cedera diserang anjing

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mac 2013
Remaja, kanak-kanak cedera diserang anjing
Haniza menunjukkan kecederaan pada mata dan jahitan di kening Nurkhairunnisa akibat serangan anjing liar.

SERENDAH, Hulu Selangor – Seorang kanak-kanak parah, manakala seorang pelajar universiti menerima lapan jahitan di kening akibat diserang seekor anjing.

Mangsa, Mohd Aqashah Abdul Malik, 9, masih ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Selayang dan difahamkan telah menjalani pembedahan rahang semalam, sementara Nurkhairunnisa Sahlan, 24, direhatkan seminggu di rumahnya, di sini.

Menurut Nurkhairunnisa, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang, 1 Mac lalu ketika dia mahu menghantar dua anak saudaranya pulang.

“Ketika itu baru keluar pagar rumah, tiba-tiba seekor anjing menyerang kami.

“Akibat panik, motosikal yang kami tunggang terus meluru dan melanggar tiang menyebabkan kami terjatuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Melati.

Nurkhairunnisa mengalami kecederaan di mata dan kaki kanan, sementara Mohd Aqashah cedera parah di dagu, rahang, kaki dan tangan kiri, manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, dia sepatutnya memulakan sesi pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Isnin lalu, namun terpaksa menyambung semula cuti akibat kejadian itu.

“Saya baru habis cuti pertengahan semester sebulan, tapi kejadian ini memaksa saya rehat lapan hari lagi untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Haniza Ayu Salleh, 45, mahu pihak berkuasa menghapuskan anjing liar di taman perumahan itu yang didakwa semakin tidak terkawal.

Menurutnya, terlalu banyak kes serangan anjing liar di kawasan itu dan kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak, wanita dan penunggang motosikal.