‘Rempuh tiba-tiba’ – Metro


‘Rempuh tiba-tiba’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KULAIJAYA: Dua beranak maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah motosikal Yamaha RXZ ditunggang seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di Jalan Persiaran Putri Utama, Taman Putri, Kulaijaya, di sini, pada jam 9.20 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, dua beranak yang maut dikenali sebagai P Santhi, 36, dan anak perempuannya, K Kunasshini, 13, manakala remaja lelaki yang parah masih belum dikenal pasti identitinya.
“Dua beranak itu menunggang motosikal Honda Wave dan ketika kejadian, mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak berhampiran selepas membeli barangan keperluan sekolah dan rumah di sebuah kedai.

 

“Secara tiba-tiba motosikal ditunggang remaja itu merempuh Honda Wave berkenaan,” katanya, semalam.
Difahamkan, ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa tidak memakai topi keledar, dua penunggang itu dipercayai tidak memiliki lesen memandu, manakala tempoh sah cukai jalan kenderaan terbabit diragui tempoh sah lakunya.
Menurut Zulkefly, setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian.

 

 

“Remaja terbabit patah kaki akibat rempuhan itu dan keadaannya dilaporkan stabil. Kami akan mengambil keterangan daripada remaja berkenaan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta mereka yang menyaksikan kejadian itu tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08